Bursa Malaysia

top_rightads

Wednesday, September 14, 2011

Pendirian Kerajaan Tidak Berganjak

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Kerajaan tidak akan tunduk dengan permintaan Lion Group Bhd. (Lion Group) supaya duti import dinaikkan kepada 35 peratus bagi melindungi para pengeluar besi tempatan.
Pada masa ini, duti import bagi gegelung besi panas (HRC) berada pada paras 25 peratus.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, MITI tidak berada dalam kedudukan yang membolehkannya meluluskan permintaan Lion Group itu.
"Kerajaan bukan hanya perlu memikirkan permintaan beberapa syarikat sahaja tetapi perlu melihat kepada industri secara menyeluruh termasuk segmen hiliran dan huluan.

"Setakat ini, MITI ada duduk berbincang dengan Lion Group dan sedang berusaha menyediakan pelan terbaik untuk industri secara keseluruhannya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Forbes di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah Lion Group melalui anak syarikatnya Megasteel Sdn. Bhd. yang mungkin menimbang mengalihkan operasi pembuatan besi ke Indonesia kerana persaingan tidak adil daripada produk import.

Mustapa berkata, Lion Group turut meminta kerajaan untuk melarang eksport besi lusuh dan rebat untuk bayaran utiliti tetapi ia masih di peringkat perbincangan."MITI akan cuba membantu Megasteel dengan cara lain," katanya.

Pengerusi Lion Group, Tan Sri William Cheng semalam berkata, kerajaan telah membenarkan duti import sifar bagi HRC dari Indonesia dan Thailand, manakala negara-negara berkenaan mengenakan duti, masing-masing sebanyak 48 peratus dan 43 peratus bagi produk yang sama dari Malaysia.
Beliau bersetuju sekiranya kerajaan menetapkan harga siling bagi HRC sekiranya mereka merasakan syarikat membuat keuntungan lebih atau berlaku monopoli.

Sumber -Utusan Malaysia

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...