Bursa Malaysia

top_rightads

Friday, July 8, 2011

Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan(GLIC) Perlu Meningkatkan Kepentingan Dalam Syarikat-syarikat Yang Berjaya

Thestar online hari ini telah memaparkan komen seorang pembaca yang bernama Dr Lee Boon Peng yang terkejut dengan berita yang disiarkan di Utusan Malaysia 6 Julai 2011 yang menyatakan bahawa "33 GLC akan dijual" (Utusan Malaysia 6 Julai,).

Beliau dipetik berkata "Saya membaca dengan rasa terkejut terhadap tajuk utama dalam Ruangan Bisnes pada 6 Julai 2011 yang lalu dengan berkongsi pengetahuan beliau di mana sebarang  penswastaan
​​keseluruhan atau sebahagian daripada  salah satu perusahaan milik negara  jika dilakukan di negara barat akan melahirkan banyak perdebatan, tambahan lagi jika ianya melibatkan sebanyak  33 perniagaan.

Sebagaimana yang sedia maklum bahawa pemilik faedah saham-saham ini ialah organisasi yang  ditubuhkan bagi menjaga amanah untuk generasi akan datang rakyat Malaysia, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah Nasional Bhd, Permodalan Nasional Bhd, Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Persaraan dan Lembaga Angkatan tentera. Justeru itu tiada kewajaran dilihat inisiatif ini diterima pakai.

Aset pelaburan milik negara ini menjana dividen untuk sebab-sebab pelbagai bayaran pencen tentera, pelaburan KWSP dan pelbagai aktiviti haji, dan mendukung nilai Amanah Unit Amanah Saham Nasional.Ini merupakan salah satu cara rakyat Malaysia dapat berkongsi dan menikmati kemakmuran negara kita.

Beberapa persoalan diutarakan untuk direnungkan bersama :

1. Apakah rancangan untuk dana yang bakal dijana oleh proses penswastaan
​​ini? Bagaimana ini akan dilindungi?

2.Apakah jenis-jenis aset yang boleh menjana pendapatan yang bakal diperolehi untuk menggantikan perusahaan atau syarikat-syarikat dijual? Tidakkah pesara dan pemegang unit amanah bakal mengalami hakisan aset dan pendapatan?

3.Adakah saham-saham yang termasuk dalam pengiraan sasaran pemilikan ekuiti 30% bumiputera?

4.Bagaimana sasaran ini dapat dicapai jika apa-apa ketirisan besar terus berlaku?

5.Adakah Bursa mampu menyerap proses rasionalisasi/kejutan ini secara besar-besaran terhadap pegangan kuat-saham yang dipegang sebelum ini tanpa merosakkan nilai-nilai ekuiti yang sedia ada?

6.Sebagai sebuah negara maju dari segi ekonomi dan mengalami guna tenaga penuh, seharusnya  Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan memikirkan peningkatan kepentingan dalam syarikat tempatan dan asing yang berjaya dan diuruskan dengan baik selaras dengan suasana iklim kekayaan dan kemakmuran negara kita dan bukannya dengan memilih kaedah melupuskan saham?

Inilah kaedah sebenar bagaimana dana-dana yang paling berjayadi dunia mengembangkan kekayaan dan meningkatkan pertumbuhan aset mereka, serta meningkatkan kemakmuran untuk rakyat mereka.


MyIktisat amat bersetuju dengan pendapat berkenaan.Jika ini diteruskan maka ianya bakal dilihat sebagai ingkar terhadap konsep "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" oleh pemimpin negara ketika ini. Kalau dilihat dari sudut konsep berkenaan, tetap rakyat diletakkan pada ayat yang pertama, kemudiannya baru pencapaian pembuat dasar diutamakan.Seharusnya pihak yang membuat dasar yang tidak bersetuju dengan konsep utama ini perlu melepaskan jawatan dan menyerahkan kepada mereka yang lebih faham falsafah konsep tersebut. 

Sepatutnya GLIC terus diberi peluang untuk memegang syarikat-syarikat yang berkualiti di dalam negara kerana merekalah sebenarnya pelabur tulen di peringkat domestik. Kesetiaan mereka tidak perlu dipertikaikan kerana mereka sering dan akan terus bersama kita dalam keadaan suasana senang ataupun susah. Ini berbeza dengan pelabur-pelabur asing yang sering memberikan alasan untuk tidak melabur disebabkan pegangan GLC dan GLIC yang besar di dalam syarikat milik negara. Ironinya, jika kita menghadapi sesuatu kesukaran, merekalah yang akan sering menjadi golongan yang pertama melarikan diri dan mengalirkan wang keluar negara dan sering menggugut kita agar tunduk dengan desakan mereka ,jika mahu terus dibantu. Ini telah termaktub di dalam lipatan  sejarah seperti mana krisis matawang yang telah berlaku pada akhir tahun 90 an. Adakah kita terdiri dari bangsa yang mudah lupa?

Namun begitu, kita faham jika pada masa tertentu dan pada situasi harga yang baik di pasaran modal, pihak GLIC turut akan membuat pengambilan untung dan membeli semula saham pada masa harga yang rendah. Itu adalah proses biasa dan tidak perlulah melepaskan terus pegangan secara besar-besaran. Sesungguhnya saya berpendapat bahawa cadangan melupuskan pegangan tersebut mungkin datangnya daripada pihak-pihak yang sering lupa akan sejarah dan terus tidak mahu ambil ikhtibar.

Rujukan :
http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/7/8/business/9057098&sec=business
@MyIktisad

2 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...