29 Jamadil Awal 1436
Sebuah syarikat tempatan, Aerospace Technology Systems Corp Sdn Bhd (ATSC), menawar diri untuk menaik taraf 10 pesawat MiG-29N Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada Pesawat Tempur Pelbagai Peranan (MRCA).
Ketua pegawai eksekutif ATSC Lt Kol (B) Fadzar Suhada hari ini berkata penambahbaikan yang disyorkan syarikat itu akan menjadikan pesawat berkenaan bukan sahaja setanding dengan jet pejuang MRCA lain yang ada di pasaran, malah mampu memanjangkan jangka hayatnya hingga sekurang-kurangnya 25 tahun.
"Setelah menjalankan kajian meluas selama dua tahun, kami percaya pesawat itu (MiG-29N) masih baik, tetapi apa yang perlu dilakukan angkatan tentera udara ialah meningkatkan kemampuannya ke paras MRCA.
"Apa yang kami tawarkan kepada TUDM adalah penyelesaian jangka sederhana dan jangka panjang bagi menaik taraf MiG agar ia menepati kemampuan MRCA serta membolehkan pesawat itu melaksanakan pelbagai tugas dari udara ke udara, udara ke darat dan udara ke laut," katanya kepada Bernama pada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA'15) di sini.
Fadzar berkata ATSC akan berganding bahu dengan syarikat RAC MiG dari Rusia sekiranya cadangan itu mendapat kelulusan kerajaan.Model yang telah dinaiktaraf itu akan dikenali sebagai MiG-29NM (Modernisation).Syarikat itu mengemukakan cadangan tersebut kepada kerajaan baru-baru ini dan sekiranya diterima, ia memberi jaminan Malaysia akan dapat menjimatkan kos, berbanding membeli kumpulan baharu jet pejuang MRCA.
Cadangan yang dikemukakan ATSC itu akan memastikan negara akan mendapat manfaat besar dari segi pemindahan teknologi kerana semua kerja penambahbaikan akan dilakukan rakyat Malaysia di Malaysia.
"Ia merupakan pilihan lebih murah (berbanding membeli MRCA baharu) dan memberi jaminan bahawa industri tempatan mampu menyokong pesawat itu jika berlaku sesuatu," kata beliau sambil menjelaskan bahawa ATSC mampu menaik taraf dua MiG pertama dalam tempoh 18 bulan.
Sumber berita dipetik dari BERNAMA
No comments:
Post a Comment