8 Jamadil Awal 1436
Petroliam Nasional Bhd (Petronas), menerusi laporan BERNAMA menafikan laporan ia akan mengurangkan kakitangannya dalam usaha untuk memotong perbelanjaan operasi (opex) sebanyak 20 peratus tahun ini.
Sebaliknya, lebihan kakitangan dalam bahagian tertentu akan diserapkan ke projek-projek yang memerlukan pengambilan pekerja baharu, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.
Menyifatkan laporan itu sebagai tidak munasabah, beliau berkata projek mega Petronas seperti RAPID masih memerlukan tenaga kerja.
Menurutnya lagi, malahan pemerolehan teknologi dan pengambilan kakitangan projek belum pun bermula lagi.
"Jadi, ia tidak akan berlaku dalam tempoh lima tahun akan datang. Untuk itu kami tidak melihat pengurangan kakitangan, kami masih memerlukan mereka bagi projek-projek itu," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan tahun kewangan kumpulan di sini, hari ini.
Petronas memutuskan untuk mengurangkan opex bersama dengan pengurangan 10 peratus perbelanjaan modal (capex) bagi memulihkan keuntungannya kerana harga minyak mentah masih rendah.
Shamsul berkata sekiranya harga minyak terus menurun tahun depan, kumpulan itu mungkin menimbang mengurangkan lagi capex sebanyak 15 peratus.
"Kami telah menyemak turun pelan capex lima tahun kami bagi tempoh 2015-2019, berikutan harga minyak global sekarang yang di luar kawalan kami," katanya.
Dipetik Sumber : BERNAMA
No comments:
Post a Comment