Bursa Malaysia

top_rightads

Tuesday, April 2, 2013

Maybank Islamic Mahu Kuasai Pasaran Global

21 Jamadilawal 1434

Selepas muncul sebagai bank Islam terbesar di Asia Tenggara dari segi aset, Maybank Islamic Bhd kini menyasar untuk menjadi peneraju dalam kewangan Islam global menjelang 2015.
Ia sejajar dengan aspirasi Bank Negara Malaysia dalam Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 yang mendorong peserta kewangan Islam tempatan menjadi peserta utama antarabangsa.
"
Kami melihat wujud potensi pertumbuhan yang sangat besar bagi sektor perbankan Islam di Indonesia kerana penguasaan pasarannya yang masih lagi rendah” Muzaffar Hisham, Ketua Eksekutif Maybank Islamic Bhd

Ketua Eksekutifnya, Muzaffar Hisham, berkata cabang perbankan Islam Malayan Banking Bhd (Maybank) itu sudah mengenal pasti lima bidang utama yang akan menjadi tumpuannya bagi merealisasikan sasaran itu.

Beliau berkata, ia adalah mengekalkan kedudukan Maybank Islamic sebagai bank Islam nombor satu di Malaysia dari segi aset, deposit dan pembiayaan serta memantapkan lagi perniagaan penerbitan sukuk.

Maybank Islamic juga akan mengukuhkan lagi kehadirannya di pasaran utama iaitu Indonesia dan Singapura serta meninjau peluang di Asia Barat, memperkenalkan produk yang inovatif serta memantapkan pengurusan risiko dan rangka kerja tadbir urus Syariah.

“Kami berpendapat adalah sangat penting bagi kami untuk mengekalkan kedudukan sebagai peneraju di pasaran tempatan sebelum meneroka pasaran antarabangsa dengan lebih agresif,” katanya kepada BH dalam satu temubual yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Jika kedudukan kami tidak kukuh di pasaran tempatan, bagaimana kami mahu bersaing di pasaran luar," katanya.

Muzaffar berkata, Maybank Islamic akan memanfaatkan sepenuhnya rangkaian Kumpulan Maybank di Indonesia dan Singapura bagi mengukuhkan kehadirannya di kedua-dua pasaran berkenaan.

Katanya, pihaknya bercadang meningkatkan transaksi rentas sempadan di negara serantau pada masa akan datang terutama dalam perbankan borong.

Yakin kekal prestasi

“Kami melihat wujud potensi pertumbuhan yang sangat besar bagi sektor perbankan Islam di Indonesia kerana penguasaan pasarannya yang masih lagi rendah,” katanya.

Mengenai prestasi kewangan Maybank Islamic bagi tahun kewangan semasa, Muzaffar berkata, pihaknya yakin dapat mengekalkan prestasi cemerlang yang dicatatkan tahun lalu, didorong permintaan yang kukuh di pasaran tempatan dan serantau.

Beliau berkata, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012, Maybank Islamic mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebelum cukai 26.9 peratus kepada RM1.32 bilion.

Katanya, dalam tempoh itu jumlah pembiayaan kasar bank Islam itu berkembang 18.3 peratus kepada lebih RM62 bilion, iaitu mewakili lebih 30 peratus pembiayaan domestik Kumpulan Maybank.

“Pada tahun lalu, perniagaan perbankan Islam menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan Maybank dengan jumlah sumbangan sebanyak RM2.20 bilion, meningkat 19.4 peratus berbanding RM1.84 bilion pada 2011,” katanya.

Sumber; BH Online

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...