Bursa Malaysia

top_rightads

Monday, April 29, 2013

Takaful Malaysia Sasar Sumbangan Pendapatan Lebih Besar Daripada Operasi Indonesia

19 Jamadilakhir 1434

KUALA LUMPUR, 29 April, 2013- Syarikat Takaful Malaysia Bhd menjangka sumbangan pendapatan daripada operasinya di Indonesia meningkat kepada 20 peratus sebaik sahaja akta jualan produk takaful oleh syarikat takaful kendiri berkuat kuasa pada 2015.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Hassan Kamil berkata ketika ini operasi di Indonesia menyumbang kira-kira 10 peratus.

"Syarikat takaful kami d Indonesia adalah syarikat kendiri. Oleh yang demikian kami berharap persaingan akan menjadi lebih adil dan saksama.

"Ketika ini, persaingan tidak sama rata. Banyak syarikat konvensional beroperasi di kaunter, oleh itu mereka mempunyai kelebihan utama berbanding kami kerana mereka menggunakan cabang konvensional untuk menyokong kaunter takaful, tanpa memerlukan modal berasingan," katanya pada taklimat media selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan di sini, Isnin.

Mengenai rancangan kumpulan untuk membeli hartanah di London, Hassan berkata rancangan itu ditangguhkan kerana Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) akan dikuatkuasakan pada Jun ini.

"IFSA akan membolehkan kami mempunyai struktur di mana terdapat sebuah syarikat pegangan kewangan, oleh itu kami akan menunggu garis panduan khusus daripada Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum kami meneruskan langkah seterus kami untuk membeli hartanah di London.

"Dengan adanya syarikat pegangan kewangan, ini kemungkinan akan membolehkan kami mendapat manfaat lebih besar daripada struktur cukai kerana kami akan menubuhkan syarikat pegangan kewangan di Labuan," katanya sambil menambah kumpulan itu menjangka memulakan semula rundingan pembelian tersebut di London tahun depan.

Akta baharu itu akan memerlukan penginsurans konvensional dan takaful untuk melepaskan lesen komposit mereka dan menjalankan perniagaan insurans hayat dan am mereka di bawah unit berasingan.

Mengenai kemungkinan usaha sama luar negara beliau berkata, Takaful Malaysia menyasar pasaran China dan Timur Tengah, yang mempunyai penduduk Islam yang ramai.

Bagaimanapun, beliau berkata, China kekurangan instrumen patuh syariah bagi kumpulan itu untuk melabur premiumnya manakala Timur Tengah tidak stabil dari segi keselamatan.

Di masa depan, Hassan berkata, prospek industri kekal positif dan dijangka berkembang antara 20 dan 25 peratus tahun ini.

"Kami berharap dapat memanfaatkan momentum itu dan berkembang sekurang-kurangnya pada peratusan tersebut bagi memastikan bahagian pasaran kami dikekalkan," katanya.

Takaful Malaysia, yang akan membentangkan paras modal sasaran dalamannya kepada BNM pada September, bersiap sedia untuk memiliki polisi dividen tahun depan.

Maklumat lanjut : BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...