Bursa Malaysia

top_rightads

Sunday, March 31, 2013

Bank Pusat Asia Kaji Kemungkinan Risiko Perbankan Bayangan Dalam Sistem Kewangan

19 Jamadilawal 1434


KUALA LUMPUR, 28 Mac, 2013- Bank-bank pusat Asia mengkaji secara serius kemungkinan risiko aktiviti perbankan bayangan dalam sistem kewangan di seluruh rantau ini sebagai sebahagian daripada strategi untuk terus melindungi keseluruhan sistem kewangan.

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata tidak terdapat maklumat yang mencukupi tentang perbankan bayangan di rantau ini, menyebabkan pembuat dasar Asia mewujudkan kumpulan kerja untuk mengumpulkan maklumat tentang perbankan bayangan.

Beliau berkata perbankan bayangan, yang merupakan sektor perbankan tidak dikawal atur, telah menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan global, terutamanya di Amerika Syarikat.

"Ini adalah sesuatu yang kami mahu tangani segera, sementara ia masih kecil (di rantau ini) dan kurang berkait, tetapi ia akan menjadi semakin besar dari segi skala dan lebih berkait dengan sistem kewangan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan bersama mesyuarat Kumpulan Perundingan Serantau Lembaga Kestabilan Kewangan (FSB) untuk Asia di sini Khamis.

FSB berkata perbankan bayangan didefinisikan perantaraan kredit yang dijalankan oleh entiti tertentu dan melibatkan aktiviti di luar sistem perbankan biasa seperti dana lindung nilai dan dana pasaran wang.

Ia mewakili kira-kira 25 peratus jumlah perantaraan kewangan global.

Zeti berkata kumpulan kerja itu, dijangka menghasilkan penilaian mengenai aktiviti perbankan global di rantau ini pada September, akan melihat kepada kepentingan perniagaan dan rangka kerja pengawal aturan yang boleh menangani potensi risiko yang kemungkinan timbul dalam sektor-sektor ini.

Mesyuarat keempat itu dipengerusikan bersama dengan Gabenor Bank of Korea GKim Choongsoo.

Zeti berkata kumpulan kerja itu akan mengkaji profil perbankan bayangan di Asia, isu-isu dan cabaran serta risiko perbankan bayangan dan akan membandingkan profil Asia dengan trend global.

"Kami akan memahami rejim kawal atur dan kemungkinan melanjutkan rejim-rejim ini kepada perbankan bayangan dan menghasilkan saranan dasar.

"Walaupun ia masih tidak memberi impak ketara kepada sistem kewangan kita, kami mahu mengumpulkan maklumat dan melihat apakan impak kepada keseluruhan sistem kewangan kita.

"Perbankan bayangan di bahagian sebelah sini dunia, mungkin dalam bentuk yang berbeza, tetapi kita tidak mahu berada pada kedudukan di mana kita mempunyai sektor perbankan yang dikawal atur sempurna sementara satu lagi segmen sistem kewangan kita pula kurang dikawal atur dan bercanggah. Ini boleh menyumbang risiko kepada kestabilan kewangan. Ini adalah rasional untuk mengkaji bidang ini," katanya.

Ditanya jika terdapat kemungkinan bank-bank Asia mengawal atur aktiviti perbankan bayangan di masa depan, Zeti berkata ini adalah sesuatu yang patut ditimbangkan oleh setiap bidang kuasa.

Maklumat lanjut: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...