25 Jamadilawal 1434
KUALA LUMPUR, 4 April, 2013 Bank Muamalat mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM172.4 juta bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 31 Dis, 2012, meningkat berbanding keputusan setahun penuh tahun lepas sebanyak RM123.5 juta.
Perolehan bagi tempoh itu meningkat 12.3 peratus kepada RM744.6 juta, menurut bank itu dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata "Prestasi kami semakin meningkat sehingga 2012 walaupun saingan sengit secara berterusan dalam industri.
"Kami mencatat peningkatan mampan dalam pembiayaan dan pendapatan yuran dan pada masa yang sama menekankan disiplin yang lebih besar dalam menguruskan perbelanjaan overhed.
"Tidak kurang pentingnya, kualiti aset telah meningkat dengan ketara, yang membawa kepada penurunan kos susut nilai yang seterusnya membantu meningkatkan pendapatan bank," katanya.
Bagi tempoh dalam kajian, pendapatan pembiayaan meningkat 17.9 peratus kepada RM461.4 juta manakala pendapatan yuran menyaksikan pertumbuhan kukuh sebanyak 44.6 peratus tahun ke tahun kepada RM31.7 juta.
Peningkatan ketara bank dalam pendapatan berasaskan fi didorong terutamanya menerusi tumpuan berterusan dalam mengembangkan perniagaan Ar-Rahnu dan perkhidmatan pengurusan kekayaan, selain peningkatan aktiviti nasihat korporat.
Selain itu, bank turut mencatat kemasukan semula bersih RM7.2 juta pembiayaan dan pelaburan berbanding RM21.6 juta elaun pada tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
"Segmen runcit kekal sebagai industri perbankan asas. Pertumbuhan 33.4 peratus dalam segmen ini mencerminkan penerimaan ramai yang semakin meningkat terhadap produk kami di pasaran, disokong oleh penawaran kompetitif kami dan strategi untuk memberi tumpuan kepada segmen khusus dan pasaran terpilih.
"Walaupun pertumbuhan penting, menguruskan kualiti aset terus menjadi keutamaan bank," kata Mohd Redza.
Maklumat lanjut: BERNAMA
No comments:
Post a Comment