15 Jamadilawal 1434
KUALA LUMPUR, 26 Mac, 2013- Petronas Leadership Centre (PLC), cawangan pembelajaran utama Petronas Group, memenangi anugerah emas Majlis Universiti Korporat Global (GlobalCCU).
Kejayaan meraih anugerah itu bererti PLC diktiraf sebagai universiti korporat terbaik yang "menggabungkan identiti, budaya dan jenama organisasi itu ke dalam pemegang kepentingannya".
"Sebagai kesimpulan, anugerah itu mengiktiraf peranan PLC sebagai Universiti Korporat Petronas, yang menonjolkan budaya korporat, jenama dan identitinya melalui penyelesaian pembelajaran bitara untuk pemegang kepentingannya," kata PLC dalam kenyataan Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutif PLC Yasir Abdul Rahman menerima anugerah itu pada majlis yang diadakan untuk julung kalinya di Paris, Perancis.
Pengerusi GlobalCCU Annick Renaud-Coulon dan ketua pegawai eksekutif Club Med Henri Giscard d'Estaing serta pengerusi Microsoft Europe Jan Muehlfeit, menjadi pengerusi bersama anugerah itu.
Anugerah GlobalCCU memberi pengiktirafan kepada universiti korporat terbaik dari seluruh dunia yang mewujudkan nilai untuk manusia, perniagaan dan masyarakat serta yang mencapai kecemerlangan tertinggi dalam profesion.
Kenyataan itu berkata Jawatankuasa Penasihat dan Penghakiman, yang dianggotai pakar antarabangsa dalam profesion masing-masing, memilih pemenang anugerah itu dalam kalangan finalis dari 19 negara.
Majlis penyampaian anugerah itu turut dihadiri duta Malaysia ke Perancis Tan Sri Abdul Aziz Zainal.
Yasir berkata pengiktirafan global itu merupakan suatu kejayaan besar bagi PLC, yang tidak mungkin dicapai tanpa sokongan Petronas.
PLC meraih Anugerah GlobalCCU tidak sampai empat bulan selepas ia memenangi Anugerah Pembangunan Sumber Manusia Berhad sebagai Penyedia Latihan Terbaik 2012.
Sumber : BERNAMA
No comments:
Post a Comment