14 Rabiulawal 1434
MANILA, 22 Januari 2013- Maybank menyahut seruan oleh kerajaan Malaysia untuk membantu menambah baik ekonomi rakyat Bangsamoro dengan memperluaskan perkhidmatan kewangannya dan melabur di wilayah Mindanao, Filipina itu, yang kini tidak lagi menghadapi konflik.
Baru-baru ini, Malaysia menjadi perantara bagi perjanjian damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina yang menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju meletakkan senjata selepas bertahun-tahun bersengketa kerana merebut Mindanao.
"Kita semua amat gembira dengan perjanjian damai yang telah ditandatangani itu, kerana ini akan membolehkan Mindanao dibangunkan selanjutnya," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, pada satu sidang media di sini pada Jumaat.
Beliau berkata pelaburan Maybank itu adalah sejajar dengan saranan kerajaan Malaysia agar pelaburan dibuat untuk membantu Bangsamoro, dan juga selaras dengan kehendak kerajaan Filipina.
Pada masa ini, Maybank mempunyai tiga cawangan di Mindanao, iaitu di Cagayan de Oro, Davao dan Zamboanga.
Abdul Wahid berkata rancangannya tahun ini ialah untuk membuka empat lagi cawangan di wilayah itu, yang akan menambah rangkaiannya lebih daripada sekali ganda.
"Dengan perjanjian damai ini, kami berharap akan ada banyak lagi kegiatan pelaburan dan ekonomi di Mindanao," katanya.
Abdul Wahid, yang berada di sini untuk menghadiri pelancaran rasmi pusat korporat baharu Maybank Philippines Incorporation (MPI) di Bonifacio Global City, berkata bank itu merancang untuk membuka 25 cawangan tahun ini, dan 25 lagi pada 2014 hingga seterusnya mencapai sejumlah 200 cawangan menjelang 2018.
Beliau berkata Maybank komited untuk mengembangkan perniagaannya bersama dengan pembangunan negara ini, dan pelaburannya di Filipina akan berterusan bagi satu jangka masa yang sangat panjang.
Sekarang ini MPI mempunyai 54 cawangan yang terletak di kawasan-kawasan ekonomi utama di seluruh negara ini. Cawangan ke-55 dijadualkan dibuka di Davao pada akhir bulan ini.
Modalnya pada masa ini berjumlah US$145 juta, berbanding US$40 juta pada 1997.
Maklumat lanjut : BERNAMA
No comments:
Post a Comment