7 Rabiulawal 1434
KUALA LUMPUR, 18 Januari 2013- Petronas hari ini mengumumkan penemuan minyak dan gas di telaga Adong Kecil West-1 di Blok SK333, di daratan Sarawak, iaitu penemuan minyak dan gas pertama di daratan Malaysia selepas 24 tahun.
Syarikat minyak negara itu berkata penemuan kali terakhir di daratan ialah di Medan Asam Paya pada 1989, juga di Sarawak.
Petronas berkata telaga Adong Kecil West-1, terletak kira-kira 20km di timur laut pekan Miri, digerudi oleh JX Nippon Oil & Gas Exploration (Onshore Sarawak) Ltd, operator bagi Blok SK333, bersama-sama rakan usaha samanya, Petronas Carigali Sdn Bhd.
Ia berkata telaga itu digerudi pada kedalaman 3,170 meter dan menemui kira-kira 349 meter ketebalan bersih hidrokarbon.
Dua ujian gerudi merealisasikan kadar aliran kira-kira 440 tong minyak sehari dan 11.5 juta meter padu standard gas sehari, katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Petronas berkata penilaian teknikal sedang dijalankan oleh operator bagi menentukan jumlah sumber di medan terbabit.
"Berdasarkan keputusan penggerudian, terdapat tanda-tanda bahagian lebih dalam di kawasan laut, yang mungkin berpotensi tinggi mengandungi hidrokarbon.
"Bagaimana pun, menerusi tekanan lubang bor yang tinggi, operasi penggerudian lebih mencabar untuk kolam yang lebih dalam dan dermaga dengan spesifikasi tinggi diperlukan untuk menguji jarak terbabit," kata Petronas.
Setakat ini, tiga penemuan dibuat di daratan Sarawak, iaitu Miri, Asam Paya dan medan Adong Kecil West.
Maklumat lanjut: BERNAMA
No comments:
Post a Comment