Bursa Malaysia

top_rightads

Saturday, January 26, 2013

Pelanggan UniFi Melebihi 500,000

14 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 25 Januari 2013- Telekom Malaysia Bhd (TM) berkata asas pelanggan bagi perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB)nya, UniFi, baru-baru ini melepasi jumlah 500,000.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, TM berkata pencapaian hebat ini menjadi lebih bermakna apabila dicatatkan lebih awal daripada sambutan ulang tahun ketiga perkhidmatan UniFi pada bulan Mac ini, dengan kadar langganan melebihi tanda aras global untuk pelaksanaan perkhidmatan yang serupa.

Naib Presiden Eksekutif, Konsumer TM, Imri Mokhtar, berkata produk utama syarikat itu terus menjadi peneraju pasaran jalur lebar domestik, malah bilangan pelanggan UniFi juga kini berkembang kepada setengah juta.

"Melihat kadar semasa iaitu lebih daripada 35 peratus, langganan perkhidmatan kami tidak menunjukkan tanda-tanda merosot.

"Ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semakin menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dan manfaatnya," katanya.

Beliau berkata TM sememangnya menganggap dirinya sebagai peneraju dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan segmen perniagaan ini.

"Ini amat selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar isi rumah di negara ini sejajar dengan objektif pembangunan ekonomi negara," ujar beliau.

UniFi kini ditawarkan di 94 kawasan meliputi lebih daripada 1.34 juta premis sedia dipasang termasuklah 64 kawasan di Lembah Klang, lima di Pulau Pinang, empat di Kedah, sembilan di Johor, dua di Melaka, dua di Negeri Sembilan, dua di Perak, satu di Terengganu, satu di Pahang, satu di Sabah dan tiga di Sarawak.

Kawasan liputan perkhidmatan ini termasuklah kawasan-kawasan ekonomi dan zon perindustrian utama di Lembah Klang, Cyberjaya, Putrajaya, Taman Teknologi Tinggi Kulim dan kawasan Iskandar Malaysia.

Bagaimanapun, Naib Presiden Eksekutif Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) TM, Azizi A Hadi, berkata kumpulan itu kini telah melangkaui peranannya sebagai pembekal perkhidmatan, dan mengambil peranan yang lebih pro-aktif sebagai rakan kongsi yang diyakini kepada PKS tempatan melalui usaha berterusan untuk meningkatkan daya saing produk-produk PKS yang ditawarkan di pasaran, selain turut membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi dalam rantaian nilai.

Maklumat lanjut: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...