Bursa Malaysia

top_rightads

Monday, May 2, 2011

Bagaimana Subsidi Boleh Dikekalkan ?

Perkataan subsidi amat sinonim dikalangan masyarakat di negara ini. Banyak perbelanjaan-perbelanjaan atau kos-kos yang terpaksa ditanggung oleh rakyat amat perlu diberikan subsidi sehinggakan sampai satu ketika di waktu yang dahulu, mendapatkan seekor berukpun perlu diberikan subsidi untuk tujuan memanjat pokok kelapa. Namun begitu, cabaran semasa dunia menyebabkan kemudahan subsidi yang memberikan manfaat kepada rakyat semakin diancam untuk dihapuskan. Dengan secara tak langsung ,ini menyebabkan kestabilan politik disesetengah negara juga semakin terancam apabila kemudahan berkenaan dicadangkan untuk dihapuskan.

Bagi mana-mana pihak yang telah mendapat memanfaat sepenuhnya kemudahan itu sebelum ini dan yang telah mengecapi kejayaan dan kekayaan sekarang, adalah seringkali golongan ini dengan secara sinis dan lantang membuat kenyataan di media-media dengan menyatakan bahawa subsidi yang diberi bakal melemahkan rakyat.Namun begitu, bagi mereka yang masih terkial-kial mencari rentak dalam kehidupan, maka subsidi dilihat perkara yang amat penting bagi diri mereka bagi meneruskan kehidupan dalam keadaan yang lebih kondusif , di mana wang lebihan yang diperolehi dapat dimanfaatkan kepada kemudahan pendidikan, keselesaan hidup dan sebagainya.Kedua-dua kenyataan itu mungkin betul, namun kita juga perlu ingat bahawa golongan yang memerlukan subsidi itu adalah lebih besar daripada yang tidak memerlukan.

Tapi sebenarnya, itu bukan isunya. Yang menjadi isu utama dalam hal subsidi ini ialah, kemudahan berkenaan secara terang dan nyata turut dinikmati oleh bukan warga negara kita seperti pekerja asing dan pelancong asing yang datang ke negara ini . Ini diburukkan lagi dengan kes penyeludupan dan penjualan komoditi tertentu kepada pihak yang tidak sewajarnya. Walaupun penguatkuasaan telah dijalankan seperti penjualan petrol yang menggunakan plat pendaftaran luar yang tidak dibenarkan dijual bagi petrol RON 95, tetapi apakah jaminannya bagi lebih sejuta orang warga kerja asing yang menggunakan motorsikal dan kereta berpendaftaran di Malaysia tidak membeli petrol berkenaan? Mereka juga membeli gula, tepung, beras yang disubsidikan oleh kerajaan. Maka secara tak langsung kekayaan negara juga dinikmati oleh mereka, bahkan mereka terus mendesak mendapat gaji lebih daripada RM 600 sebulan bagi yang bekerja sebagai pembantu rumah,sedangkan mereka tidak perlu mencarum dalam KWSP atau mencarum dalam PERKESO.Lebih memeritkan, majikan terpaksa menanggung kos insuran perubatan terhadap mereka disebabkan bebanan Hospital kerajaan yang kini terpaksa menanggung bil mereka yang tertunggak. Lebih menghairankan lagi, jika bagi pekerja tempatan caruman berkenaan terpaksa ditanggung oleh para pekerja sendiri dengan gaji dipotong oleh PERKESO, tetapi bagi warga kerja asing bebanan kos berkenaan perlu ditanggung oleh majikan itu sendiri. Pilihan seperti ini perlu diberi pertimbangan sewajarnya agar dapat mengikiskan tanggapan bahawa pekerja asing lebih mendapat layanan istimewa daripada pekerja tempatan.

Isu-isu seperti ini perlu difikirkan dan ditambah baikkan polisi sedia ada dari masa ke semasa. Ianya menuntut penyelesaian secara kreatif dan inovasi di dalam aspek perlaksanaannya.Antara idea-idea yang boleh difikirkan secara mendalam ialah :

1. Mengurangkan gejala rasuah. Bayangkan jika 1 juta pekerja tanpa izin masuk tanpa perlu membayar levi dengan anggaran RM 450 seorang dan oleh kerana disebabkan gejala rasuah, kerajaan mungkin  hilang sebanyak RM 450 juta ringgit hasil negara. Ini mungkin menguatkan lagi kenyataan yang telah dibuat bahawa kerajaan telah hilang hasil yang dianggarkan  sebanyak lebih daripada RM 100 billion setahun disebabkan gejala ini dikebanyakan sektor. Bayanglah bahawa kekayaan negara sebanyak RM 100 billion hanya dinikmati oleh segolongan yang terbabit yang telah lari daripada cukai.Dengan nilai sebanyak itu, kita yakin dan percaya bahawa kerajaan dapat mengurangkan cukai individu dan lebih ramai dapat menikmati kekayaan negara.Dengan mengurangkan cukai individu, ianya bakal meningkatkan kuasa beli dalam negara dan ianya bakal memangkin pertumbuhan ekonomi negara.

2. Subsidi mesti diberikan kepada yang berhak sahaja iaitu kepada warga negara Malaysia sahaja. Bayangkan jika setiap warga asing , dengan anggaran sebanyak 2 juta orang sering berpeluang menggunakan RM 100 subsidi daripada pelbagai barang keperluan sebulan, maka kerajaan sudah tentu dapat menjimatkan sebanyak RM 200 juta sebulan atau RM 2.4 billion setahun.

3. Menggalakkan penggunaan tenaga solar. Kerajaan boleh memberi insentif percukaian kepada individu yang memasang panel solar dirumah-rumah dan sebarang tenaga lebihan yang dijana boleh dijual kepada TNB atau suatu entiti kerajaan yang boleh dibentuk untuk mengumpulkan tenaga dan memusatkan bekalan sebelum dijual semula.Ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber petroleum. Panel solar perlu dikeluarkan di dalam negara bagi mengurangkan kos, sekiranya ianya memberi keberkesanan kos sekiranya  dikeluarkan di dalam negara.

4. Memperbaiki kemudahan pasarana jalan raya dengan membina jejantas dan jejambat bagi mengurangkan kesan daripada simpang-simpang yang memerlukan lampu isyarat yang boleh menyebabkan kesesakan jalan raya. Langkah ini juga dapat menjimatkan petrol serta dapat mengurangkan masa. oleh yang demikian, masa yang berkualiti  lebih dapat diluangkan bersama keluarga selepas bekerja.

5. Waktu kerja jam anjal perlu diwajibkan kepada semua majikan agar dapat menyelesaikan pelbagai masalah untuk ke tempat kerja. Pelanggan juga bakal memperolehi manfaat jika khidmat kaunter dapat dipanjangkan waktunya.

6. Memperbaiki kemudahan pengangkutan awam. Bilangan dan jaluran hubungan tren keretapi perlu diperluaskan seperti projek MRT yang sedang dirancangkan oleh pihak kerajaan sekarang.Bilangan tren juga perlu ditambah dan sebarang karenah birokrasi mendapatkan tren perlu dihapuskan. Jika perlu tren juga perlu dikeluarkan di dalam negara jika mempunyai keberkesanan kos pengeluaran di sini.

7. Pemberian lesen dan permit peredaran bahan keperluan seperti gula, tepung, bawang, perkhidmatan "Indepependent Power Supply-IPP",automotif dan sebagainya, perlulah diutamakan kepada koperasi, persatuan dan syarikat berkaitan kerajaan, berbanding individu agar agihan kekayaan disalurkan kepada pihak awam.

8. Dan banyak lagi yang boleh difikirkan.

Saya yakin dan percaya, jika sebahagian dari cadangan ini dapat dipertimbangkan dan dilaksanakan, ianya bakal memberi impak positif kepada kehidupan kepada kebanyakan rakyat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...