Bursa Malaysia

top_rightads

Saturday, May 5, 2012

Industri Runcit Dijangka Lihat Perkembangan Menarik Selepas Akta Persaingan 2010

13 Jamadilakhir 1433

KUALA LUMPUR, 5 Mei , 2012- Apabila Akta Persaingan Malaysia 2010 diwartakan pada 10 Jun tahun lepas, ia bermatlamat menyediakan rangka kerja bagi mengurangkan amalan anti-persaingan di Malaysia.

Dan akta ini terpakai kepada sebarang aktiviti perdagangan dalam Malaysia kecuali bagi aktiviti yang dijalankan oleh sektor tenaga, komunikasi dan multimedia.

Kepentingan Akta Persaingan ini adalah untuk memperkenalkan persekitaran pasaran yang kompetitif dan menyediakan tahap persaingan sama rata bagi semua peserta agar proses ini boleh menghapuskan amalan anti-persaingan seperti kartel dan pakatan sulit.

Bagaimanapun, laporan media baru-baru ini mendedahkan bahawa beberapa kumpulan runcit, termasuk beberapa pembekal produk pengguna utama telah memohon kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk dikecualikan daripada mematuhi Akta tersebut.

Ini pastinya memberikan masa yang sukar bagi Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Shila Doraj Raj dan panel pengawal selia untuk memutuskannya.

Industri runcit Malaysia didominasi oleh beberapa rantaian pasar raya besar dan pasar raya. Gedung dagangan moden ini menyumbang kira-kira 50-55 peratus daripada jumlah industri runcit tempatan.

Perdagangan tradisional, termasuk kedai runcit kecil, yang juga menguasai pasaran agak besar seperti dibuktikan daripada bilangan kedai runcit yang tersebar di seluruh negara, masih menyumbang kira-kira 40 peratus daripada perniagaan manakala kedai serbaneka yang semakin berkembang pesat menyumbang baki selebihnya.

Persoalannya: bagaimana anda mahu melaksanakan Akta Persaingan ke atas gedung-gedung dan kedai runcit ini?.

Telah diketahui umum bahawa pasar raya besar dan pasar raya moden seperti Giant, yang memiliki kira-kira 120 gedung di seluruh negara, menyumbang kira-kira 15 peratus daripada jumlah perniagaan runcit.

Tesco, dengan kira-kira 50 gedung, juga menyumbang kuantiti yang sama daripada jumlah industri. Peserta utama lain termasuklah Carrefour dan AEON.

Gedung-gedung ini sememangnya telah diketahui merupakan perunding yang sukar kerana mereka meminta beberapa bentuk insentif daripada pembekal (termasuk fi senarai produk, fi ruang dan rak, elaun promosi, diskaun dan sebagainya).

Dalam keadaan biasa ini, kebanyakan pembekal akan akur dengan kehendak rantaian besar ini kerana gedung-gedung ini akan memberikan jaminan kepada mereka kuantiti yang mana semua pembekal inginkan.

Akhirnya, pembekal akan menyerahkan sehingga 20-30 peratus diskaun lebih daripada margin dagangan biasa mereka, dan gedung rantaian akan menggunakan diskaun ini untuk mengurangkan harga jualan mereka kepada pengguna. Justeru itu ia merupakan berita baik bagi gedung-gedung ini.

Meskipun pembekal tidak begitu gembira memberikan diskaun ini, namun mereka akan mengalu-alukan kuantitinya.

Sementara itu, bagi kedai runcit tradisional, walaupun banyak dari segi bilangan, mereka tidak mempunyai kekuatan untuk merundingkan diskaun seumpama itu.

Maklumat lanjut:BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...