Bursa Malaysia

top_rightads

Saturday, February 25, 2012

TM CATAT PRESTASI KUKUH – HASIL TAHUNAN SEBANYAK RM9.15 BILION

3 Rabiulakhir 1433

Telekom Malaysia Berhad (TM) melangkaui kesemua 3 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

TM mencatat pertumbuhan hasil yang kukuh sebanyak 4.1% kepada RM9,150.7 juta berbanding RM8,791.0 juta yang direkodkan tahun lalu. Ini disumbangkan oleh pertumbuhan memberangsangkan dalam segmen Internet dan Multimedia yang meningkat 21.1% kepada RM2,001 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu; dipacu oleh pertambahan jumlah pelanggan jalur lebar, terutamanya UniFi.

Margin Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi yang Dinormalisasi (EBITDA) adalah pada 33.5 melebihi catatan tahun lepas iaitu 33.1% berikutan peningkatan operasi berterusan yang memberikan hasil operasi yang lebih tinggi pada kos yang lebih rendah. Dengan fokus berterusan terhadap meningkatkan kualiti pengalaman pelanggan serta produk dan perkhidmatannya, TM mencatatkan tahap kepuasan pelanggan[1] lebih daripada 70; melebihi mata purata bagi syarikat telekomunikasi global iaitu 67.


Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) direkodkan sebanyak RM1.19 bilion selari dengan tempoh yang sama pada tahun 2011. PATAMI yang dinormalisasi, tidak termasuk keuntungan daripada pelupusan pelaburan, kerugian tukaran wang asing belum nyata atas pinjaman USD dan insentif cukai sambungan akhir tahun-tahun terdahulu, dicatatkan pada RM634.8 juta, peningkatan 12.6% berbanding RM563.7 juta pada 2010, disebabkan terutamanya oleh EBITDA yang lebih tinggi.

Bercakap di sidang akhbar selepas mengumumkan keputusan penuh Syarikat bagi tahun kewangan 2011, Dato’ Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM berkata, “Sesungguhnya 2011 merupakan satu lagi tahun bersejarah buat TM. Kami terus mencatatkan perkembangan memberangsangkan dalam prestasi dan operasi dan sepanjang itu, melakar beberapa pencapaian penting. UniFi terus menjadi perhatian dengan prestasi membanggakan dari segi pelaksanaan dan penerimaan – menjadikan HSBB sebuah kisah kejayaan peringkat global. Ini mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai peneraju jalur lebar Malaysia.”

Dato’ Sri Zam mengulas lanjut, “UniFi terus menunjukkan prestasi yang melangkaui jangkaan kami pada suku ke-4 tahun 2011. Dari segi liputan, kami telah melaksanakan perkhidmatan ini di 1.16 juta premis meliputi 78 ibu sawat. Dari segi penerimaan, kami telah mengaktifkan 236,501 pelanggan, iaitu penambahan bersih sebanyak 43.9% atau 72,000 pelanggan dari suku ke suku.”

Setakat ini, TM telah meluaskan perkhidmatan ini ke lebih 1,179,000 premis sedia dipasang meliputi 79 kawasan ibu sawat. Perkhidmatan HyppTV yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan tiga serangkai UniFi pula kini menawarkan 81 saluran. Setakat semalam, TM telah mengaktifkan lebih daripada 283,000 pelanggan.

Ditambahkan dengan Streamyx, jumlah pelanggan jalur lebar meningkat 12.3%, daripada 1.71 juta pada 2010 kepada 1.92 juta pada 2011. Selari dengan strateginya untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan dengan kualiti jalur lebar menyeluruh biarpun di luar kediaman, TM telah menambah bilangan lokasi WiFinya daripada 10,982 lokasi pada akhir 2010, kepada 19,799 lokasi pada akhir 2011, pertambahan lebih 80% tahun-ke-tahun.

“ICT dan BPO kian menjadi sebahagian daripada teras perniagaan kami. Sepanjang tahun lalu, kami telah mempergiatkan usaha untuk menjadi sebuah pembekal ICT-BPO yang disegani, terutamanya dalam segmen Perusahaan dan Kerajaan. TM juga telah memeterai beberapa kolaborasi dengan syarikat terkemuka dalam perkhidmatan TelePresence, pengkomputeran ‘cloud’ dan yang seumpamanya. Ini bakal membawa kami semakin hampir kepada aspirasi kami untuk mengubah TM menjadi sebuah Pusat Data dan Kandungan bersepadu,” tambah Dato’ Sri Zam.
“Kami kekal komited untuk memberikan pulangan yang kukuh dan berkekalan kepada para pemegang saham kami menerusi komitmen dividen kami iaitu RM700 juta atau sehingga 90% daripada PATAMI yang dinormalisasi, yang mana lebih tinggi dan terus memberi nilai kepada pemegang saham. Sukacita saya ingin mengumumkan bahawa Lembaga Pengarah telah meluluskan pembayaran dividen akhir satu peringkat sebanyak 9.8 sen, sebagai tambahan kepada dividen interim sebanyak 9.8 sen yang berjumlah RM350.6 juta yang telah diagihkan pada September 2011. Saya juga ingin mengumumkan bahawa TM akan melaksanakan pembayaran balik modal (capital repayment) sebanyak 30 sen sesaham dengan cara pengurangan modal berjumlah RM1.07 bilion kepada pemegang saham kami. Melalui pemulangan ekuiti kepada pemegang saham kami, kami memberikan peningkatan dan penambahan nilai segera kepada kadar pulangan jangka panjang para pemegang saham. Setakat 31 Disember 2011, Jumlah Pulangan kepada Pemegang Saham (TRS) bagi tempoh 12 bulan kami berada pada 60.1%, mengambil kira pembayaran dividen dan kenaikan harga sepanjang tempoh tersebut. Kami terus mendahului kebanyakan syarikat tempatan lain dalam aspek ini. Sejak pengasingan pada tahun 2008 sehinggalah 31 Disember 2011, TRS kami telah mencapai 153.91%,” tambah Dato’ Sri Zam.

Pembayaran dividen akhir ini akan dilakukan pada bulan Jun 2012 dan pembayaran balik modal dijangka akan dibuat pada suku ke-3 tahun 2012.

“Kami terus menumpukan kepada memperbaiki kualiti pengalaman pelanggan untuk pelanggan kami dan kejayaan mencapai KPI Utama kami dengan mata melebihi purata industri merupakan petanda positif bahawa usaha berterusan kami untuk meningkatkan keseluruhan pengalaman pelanggan dengan kami dan program-program peningkatan kualiti yang kami laksanakan telah menunjukkan hasil yang baik. Justeru, di sini saya ingin mengumumkan bahawa tahun 2012 akan menjadi Tahun Pengalaman Pelanggan buat TM, baik dari perspektif penawaran produk atau penyampaian perkhidmatan bagi mempertingkatkan lagi penyampaian perkhidmatan kami kepada pelanggan. Contoh paling ketara adalah transformasi terbaru TMpoint yang dimulakan dengan Kelana Jaya yang memberi gambaran jelas bahawa kami serius dalam usaha kami.”

“Kami mempunyai kunci kira-kira yang mantap dengan hutang yang rendah secara relatifnya dan kedudukan tunai yang baik. Usaha kami ke arah mengoptimumkan kos dan mengekalkan kecekapan perbelanjaan modal (capex) terus menunjukkan hasil yang positif. Ini dapat dilihat pada jumlah perbelanjaan modal yang dibelanjakan yang lebih rendah 5.5% bagi FY2011 sebanyak RM2,563 juta berbanding FY2010 yang berjumlah RM2,712 juta. Hasilnya, nisbah jumlah perbelanjaan modal berbanding hasil menurun daripada 30.8% pada tahun lalu kepada 28; iaitu melangkaui komitmen HSBB kami,” akhiri beliau.


Sumber : TM


[1] (TRI*M Measuring, Managing and Monitoring) MSQOS, Piagam khidmat pelanggan dan indeks ukuran pelanggan dalaman mengukur tahap pengalaman keseluruhan pelanggan di semua pusat interaksi. TRiM (Measuring, Managing and Monitoring) merupakan satu sistem petunjuk yang standard. Ia menganalisis, mengukur dan menunjukkan hubungan pihak berkepentingan berdasarkan petunjuk yang standard.  Indeks TRI*M merupakan satu petunjuk ‘status quo’ bagi sesuatu hubungan. Indeks ini terhasil daripada empat aspek hubungan pihak berkepentingan contohnya untuk kesetiaan pelanggan: tahap keseluruhan, cadangan, pembelian produk/perkhidmatan yang berulang, dan kelebihan kompetitif sesebuah syarikat. Maklumat tersebut adalah berdasarkan kaji selidik/wawancara berdasarkan sampel pelanggan.


1 comment:

  1. Hello Kekasih di dalam Kristus,
    Saya Menteri VICTORIA Osteen, Isteri kepada Pastor Joel Osteen Pastor Kanan Gereja Lakewood, gereja Protestan yang terbesar di Amerika Syarikat, Kami datang bersama-sama dan melihat bahawa sesetengah orang memerlukan sedikit bantuan kewangan dan bantuan jadi kami mengambil keputusan untuk membentuk sebuah syarikat pinjaman yang memberi manfaat oleh semua orang di atas 18, anda adalah daripada tidak penting tetapi apa yang kita jaminan anda adalah bahawa anda layak untuk pinjaman, anda mendapatkannya penghantaran hari yang sama ke akaun bank anda dengan syarat,
    Kadar faedah yang rendah sebanyak 2%
    Syarat-syarat pinjaman yang fleksibel dan bayaran bulanan

    Hubungi syarikat pinjaman secara sah dan secara rasmi berlesen yang ialah Victoria Osteen Firma Pinjaman, A christian dibina Syarikat Pinjaman.
    Untuk maklumat lanjut e-mel- victoriaosteenloanfirm@gmail.com

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...