Bursa Malaysia

top_rightads

Thursday, January 26, 2012

Manfaat KR1M Kepada Pengguna

2 Rabiulawal 1433


Oleh Kurniawati Kamarudin & Siti Fatihah Awang(Bernama)

KUALA LUMPUR, 26 Jan , 2012- Puas hati, murah, dan dapat kurangkan perbelanjaan barang dapur. Malahan layanan para pekerjanya juga adalah mesra pelanggan.

Itu antara pandangan orang ramai berhubung Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) yang dilancarkan sejak enam bulan lepas.

Kewujudan KR1M dilihat banyak membantu golongan sasar iaitu penduduk di kawasan bandar yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan barangan keperluan tanpa mengenepikan kualiti barangan.

Setakat ini, KR1M bukan sahaja dikunjungi oleh golongan berpendapatan rendah, malahan oleh pelbagai golongan yang ingin mendapatkan barangan dengan harga yang lebih rendah.

PANDANGAN PENGGUNA

Bagi pegawai bank, Halim Harun, 47, dari Taman Melawati, Gombak, beliau memilih KR1M untuk membeli barang keperluan setelah membuat perbandingan harga di beberapa buah pasaraya.

Beliau yang mula mengunjungi KR1M di Pasar Wangsa Maju, Seksyen 4 sejak tiga bulan lepas berpuas hati dengan harga barangan yang terdapat di kedai KR1M terutama harga beras yang lebih murah berbanding pasaraya lain.

"Sebelum ini saya banyak membaca komen yang negatif tentang KR1M, jadi saya datang sendiri untuk melihat sejauh mana kebenaran tersebut dan kali pertama saya menjejakkan kaki datang ke sini, saya terus suka," kata Halim kepada Bernama.

Membeli sebanyak dua kali sebulan di sini, beliau berkata barangan KR1M lebih murah antara 10 dan 30 peratus antaranya buah laici dalam tin, sardin dalam tin, air mineral, sabun pencuci, beras dan banyak lagi.

"Kami sekeluarga dapat mengurangkan perbelanjaan barangan dapur sebanyak 20 hingga 30 peratus berbanding sebelumnya," katanya.

Secara keseluruhan, beliau amat berpuas hati dengan apa yang terdapat dalam KR1M termasuk layanan mesra yang diberikan oleh pekerja di KR1M yang sangat membantu ketika membuat pemilihan barang.

"Seharusnya KR1M dimanfaatkan pengguna memandangkan peningkatan kos sara hidup masa kini, kerana kita tahu banyak keperluan lain harus diutamakan seperti pendidikan anak," katanya.

KUALITI TIDAK MENGHAMPAKAN

Seorang lagi pengguna, Tan, 40-an turut mengakui harga yang terdapat di KR1M jauh lebih murah berbanding yang terdapat di pasaraya dan kualitinya juga tidak mengecewakan.

Beliau, yang tinggal di Setapak, sanggup datang ke kedai KR1M Wangsa Maju dengan menaiki bas setiap bulan untuk membeli barang keperluan dapur.

"Untuk barangan produk KR1M memang murah berbanding yang dijual di pasaraya, bagi barangan biasa yang bukan jenama KR1M, harga yang ditawarkan di sini lebih kurang sama dengan harga yang terdapat di pasaraya," katanya.

Mana mungkin untuk mendapatkan kualiti yang sama seperti barangan yang terdapat di pasaraya besar, namun jenama KR1M tidak seteruk yang disangkakan dan ia sesuai dengan harga yang ditawarkan, katanya.

"Saya biasa beli dalam kuantiti yang banyak tiap bulan, memang jimat. Kalau barang makanan dalam tin, tak jauh beza rasanya, macam sardin. Beras pun memang saya beli di sini sebab murah dan rasanya pun sama," katanya.

"Jika di pasaraya harga beras 10 kilogram dalam RM25 lebih, tapi di sini, RM18.90 sahaja dan paling mahal pun RM22," katanya.

"Saya akui perbelanjaan isi rumah semakin meningkat dan sebagai seorang pelajar, saya harus berjimat cermat untuk memastikan ia tidak melebihi bajet. Saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia kerana melahirkan KR1M yang banyak membantu kami semua terutama pelajar seperti saya," Ujar Khairul Azwan, 24 tahun.

BOLEH DIPERBAIKI

Bagaimanapun usaha untuk membantu meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah itu masih ada ruang yang perlu diperbaiki.

Menurut Linda, yang ditemui di KR1M Bandar Tun Razak, banyak barangan yang telah habis lambat diganti dengan stok baru.

Beliau yang datang untuk membeli sardin, tidak dapat berbuat demikian kerana ketiadaan stok.

"Selain itu saya dapati, di KR1M Bandar Tun Razak ne, stoknya agak kurang dan ini juga menyebabkan ramai penduduk di sekitar kawasan flat berhampiran tidak membeli di sini," katanya.

Namun, katanya, langkah membuka kedai KR1M di lokasi yang sesuai terutama di kawasan penduduk berpendapatan rendah sangat baik dan ia harus diperbanyakkan untuk membantu meringankan beban rakyat, katanya.

PENGGUNA BUAT PILIHAN

Bukan hanya golongan berpendapatan rendah, malah beban dari peningkatan kos sara hidup terutama kenaikan harga barang keperluan harian turut dirasakan oleh golongan pertengahan.

Mengatur perbelanjaan dengan berjimat cermat termasuk membandingkan harga yang lebih murah adalah cara terbaik menangani peningkatan kos hidup, menurut Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.

Beliau berkata pengguna perlu mengambil peluang yang diberikan kerajaan melalui KR1M untuk mengurangkan perbelanjaan kos barangan dapur.

"Pengguna harus memanfaatkan KR1M dan jika mereka berbelanja secara berhemah di sini, sekurang-kurangnya boleh mengurangkan 20 peratus perbelanjaan dapur setiap bulan," katanya

Bukan sahaja baik untuk pengguna, ia adalah jalan terbaik untuk menghapuskan peniaga yang menjalankan penipuan termasuk menjual barang yang tidak elok serta tiruan, kerana di KR1M barang-barang dinilai dan dipantau terlebih dahulu sebelum dijual kepada pengguna.

Mengulas isu kualiti, beliau berpendapat pengguna harus memahami, kualiti yang dijual tentunya tidak sama dengan yang dijual di pasaraya, namun pengguna mempunyai pilihan sama ada untuk membeli yang berjenama lain dengan harga yang lebih mahal atau jenama KR1M dengan harga yang lebih murah.

"Sebab itu saya katakan pengguna harus bijak menggunakan kuasa mereka. Jika mereka berkemampuan, mereka boleh beli yang di pasaraya, namun jika mereka rasa tidak mampu, boleh memilih barangan KR1M. Namun bila sudah murah, janganlah kita mengharap kualitinya seperti barang yang mahal, tentu ada perbezaannya," katanya.

Nadzim berharap, barangan di KR1M akan diperluaskan kepada jualan barang-barangan basah seperti ikan, ayam, buah-buahan atau sayur-sayuran agar rakyat benar-benar mendapat manfaat.

"Saya juga mahu cadangkan agar kerajaan tentukan bekalan barang keperluan seperti minyak, tepung, yang dijual di KR1M dikekalkan harganya. Sekiranya KR1M boleh import sendiri barang-barang keperluan tanpa orang tengah ia lebih baik dan sudah tentu harga yang dijual jauh lebih rendah lagi," katanya.

Selain itu, beliau berharap pengguna sentiasa menggunakan saluran yang betul sekiranya ada sebarang aduan melalui persatuan pengguna termasuk PPIM.

INISIATIF KERAJAAN

KR1M yang pertama dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Jun lepas berkonsepkan kedai runcit yang menjual barangan keperluan asas seperti beras, minyak, susu tepung, lampin pakai buang dan banyak lagi dan dipek dengan jenama "Kedai Rakyat 1 Malaysia".

Setakat ini, terdapat 250 jenis barangan yang dijenamakan dengan jenama ini dan ia akan bertambah dari semasa ke semasa.

"KR1M dibangunkan dengan konsep menjual barangan keperluan pada harga rendah tanpa mementingkan jenama barangan, namun kualiti barangan tetap diutamakan. Harga barangan yang dijual di KR1M ditetapkan antara 30 peratus dan 50 peratus lebih rendah berbanding jenama popular lain," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Antara kelainan yang turut terdapat di Kedai Rakyat 1 Malaysia ini adalah menjual pelbagai barangan yang dibungkus semula dalam kuantiti yang lebih kecil bagi membolehkan pengguna yang berpendapatan rendah masih dapat membeli barangan itu berdasarkan kemampuan dan keperluan.

Untuk memastikan kualiti barangan yang dijual di KR1M terjamin dan memenuhi standard yang ditetapkan, KPDNKK dengan kerjasama kementerian Kesihatan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa oleh unit pemantauan khas dengan kerjasama Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kerajaan telah mensasarkan 85 premis KR1M dibuka di seluruh negara sehingga tahun 2012. Daripada jumlah itu, 25 buah KR1M akan dibuka sehingga akhir tahun 2011 manakala baki 60 buah KR1M dalam tahun 2012.

Sumber- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...