26 Safar 1433
KUALA LUMPUR, 20 Jan, 2012- Telekom Malaysia Bhd (TM) menyasar mencapai 360,000 pelanggan tahun ini bagi perkhidmatan jalur lebar kelajuan tinggi premiumnya, UniFi.
Ketua pegawai eksekutif kumpulannya Datuk Seri Zamzamrani berkata tahun lepas kumpulan itu mencatatkan 250,000 pelanggan yang melanggan Unifi.
Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Perjanjian Intergriti Pemerolehan baharu TM, beliau berkata tahun ini, 1.3 juta premis akan diluluskan bagi liputan berbanding 1.1 juta pada 2011.
Bagi UniFi, TM akan terus menumpukan kepada kawasan impak ekonomi tinggi seperti Lembah Klang dan Iskandar Malaysia serta kawasan perindustrian dan universiti.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, melancarkan Perjanjian Integriti TM itu.
Turut hadir semasa pelancaran tersebut ialah pengerusi TM Datuk Dr Halim Shafie dan presiden Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Mohd Tap Salleh.
Perjanjian Integriti itu merupakan satu perjanjian bagi TM dan vendornya untuk mengelak daripada memberi suapan, subahat dan amalan rasuah lain, dalam memastikan ketelusan dan pertanggungjawapan terutamanya semasa proses pemerolehan.
Perjanjian itu menggariskan hak dan obligasi TM dan vendor ketika melaksanakan kontrak yang diberi.
Ia juga menekankan bahawa sebarang pelanggaran kepada perjanjian itu akan membawa kepada hukuman tegas termasuk penamatan kontrak, disenarai hitam, tuntutan ganti rugi jumlah tertentu serta pelakuan itu akan dilapor kepada SPRM.
Zamzamrani berkata tadbir urus korporat TM adalah antara yang terbaik di negara ini dan syarikat itu sentiasa menambah baiknya mengikut penanda aras global.
Sumber- Bernama
No comments:
Post a Comment