Bursa Malaysia

top_rightads

Wednesday, January 18, 2012

Kedai Koperasi Diminta Jangan Guna Orang Tengah Dapatkan Bekalan Barangan

24 Safar 1433


KUALA LUMPUR, 17 Jan , 2012- Semua kedai runcit koperasi diminta supaya tidak menggunakan khidmat orang tengah bagi mendapatkan bekalan barangan tetapi mendapatkannya terus daripada pusat pengedaran bagi mengelakkan kenaikan harga barangan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebagai contoh mereka boleh mendapatkan bekalan daripada sebuah pusat pengumpulan di Subang Jaya milik Felda Trading dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang diwujudkan untuk mengawal kenaikan harga barangan.

"Apabila Felda trading mengeluarkan dan membeli produk dengan begitu banyak bagi pusat pengumpulan itu, para pelanggan iaitu kedai-kedai runcit koperasi perlulah membeli bekalan barangan itu.

"Kalau kedai koperasi masih lagi nak beli daripada orang tengah, inisiatif Felda Trading (untuk mengawal kenaikan harga barangan) tidak akan berjaya. Oleh itu kedai koperasi mesti sokong," katanya ketika merasmikan Seminar Pemborongan dan Peruncitan Koperasi 2012 di sini.

Ismail Sabri berkata harga barang tinggi adalah disebabkan orang tengah yang mengaut keuntungan daripada peruncit dan seterusnya membebankan rakyat.

Pada majlis itu, Ismail Sabri menyerahkan surat pelantikan kepada 19 koperasi yang menyahut saranan untuk menjadi pusat pengedaran kecil.

Beliau berkata untuk memastikan rakyat di Sabah dan Sarawak tidak terpinggir daripada menikmati harga barangan harga jimat, dua pusat pengedaran akan dibuka di Bintulu dan Miri di Sarawak serta tiga di Sabah iaitu Lahad Datu, Kota Kinabalu dan Tawau tahun ini.

Sementara itu, Ismail Sabri mensasarkan 140 kedai koperasi dan 100 koperasi dalam pemborongan barangan akan terlibat dalam program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) tahun ini berbanding 126 kedai koperasi dan 71 koperasi dalam pemborongan barangan tahun lepas.

 Sumber- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...