top_rightads

Sabtu, 29 Oktober 2011

Himpunkan Sumber Kekayaan Umat Islam

Baru-baru ini telah digerakkan satu himpunan sejuta umat Islam (HIMPUN) yang secara simboliknya menghimpunkan suara umat Islam bagi menyatakan pendirian atas usaha segelintir pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab memesongkan akidah umat Islam. Perhimpunan ini secara tidak langsung telah membuka satu dimensi baru terhadap hak berhimpun dan menyuarakan pendapat yang telah diadakan dengan tertib dan beradab di stadium dan diadakan di stadium secara secara tertutup.

Walaupun perhimpunan ini diperkecilkan oleh pihak-pihak tertentu, ianya sedikit sebanyak juga memberi isyarat yang jelas bahawa ada segolongan dikalangan umat Islam yang menyeru ke arah kebaikan dan menentang segala bentuk kemungkaran di dalam Islam. Kewujudan paksi ke tiga di kalangan umat Islam bakal menjadi kuasa pengimbang terhadap dasar-dasar parti politik Melayu dan Islam di Malaysia.

Namun saya berpendapat bahawa, untuk menjadikan kumpulan ini terus relevan, kekuatan ekonomi dan sumber kewangan juga memainkan peranan. Adalah baik juga jika herakan ini menggerakkan usaha menghimpunkan sumber kekayaan umat Islam di Malaysia ini. Ianya boleh dilalukan dengan menubuhkan sebuah Permodalan Himpun Berhad yang fungsinya menyamai dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Untuk menghimpun sumber kewangan ianya boleh dimulakan dengan menawarkan amanah saham bernilai  yang boleh dilaburkan serendah RM 1, yang mana nilai berkenaan tidak sama dengan harga "unit trust" yang nilainya berubah mengikut harga pasaran.. Namun permodalan ini perlu ditubuhkan melalui badan-badan bukan kerajaan(NGO-NGO) kerana ia perlulah kekal bebas daripada unsur kuasa politik

Caruman-caruman daripada pencarum kemudiannya perlu dilaburkan di sektor-sektor ekonomi dan kewangan yang selaras dengan konsep halal di dalam Islam. Jika ini dapat dilakukan maka umat Islam tidak perlu gusar atas campur tangan politik dalam menguruskan sumber kekayaan umat yang telah diHIMPUNkan.

@MyIktisad

Rabu, 26 Oktober 2011

Isu Terkini Kenaikan Harga Barang : Jom Kurangkan Pembelian

Isu kenaikan harga barang dilihat seolah tidak berkesudahan. Rata-rata ianya disebabkan oleh keadaan di mana permintaan melebihi daripada penawaran. Antara faktor utama ialah, seperti yang pernah dipaparkan di media massa sebagai contoh ialah kenaikan harga ikan disebabkan oleh ikan-ikan telah dieksport ke negara China yang mana menawarkan harga yang lebih baik. Ini disebabkan oleh perkembangan pesat ekonomi di negara berkenaan. Kita yakin situasi yang sama berlaku pada barang-barang keperluan yang lain. Apa yang membimbangkan lagi ialah situasi bencana alam yang makinmenjadi jadi di negara-negara pengeluar makanan asasi.

Tindakan boikot tidak dapat menyelesaikan masalah ini, bahkan ianya mungkin bakal membunuh terus pengusaha-pengusaha yang bakal menyebabkan wujudnya hanya beberapa pengusaha sahaja di pasaran yang bakal menjurus kepada monopoli. Apa yang boleh dilakukan oleh rakyat ialah dengan mengurangkan kuantiti pembelian agar ianya dapat menstabilkan harga di pasaran ke arah yang lebih berpatutan.

Selain daripada itu para peruncit digalakkan mencari sumber barangan daripada pengeluar terus tanpa bergantung kepada pemborong atau orang tengah bagi mengurangkan kos belian barangan untuk perniagaan runcit. Jika ini tidak dapat dilakukan dengan berkesan, tindakan menangguhkan pembelian sesuatu barangan yang kurang perlu juga boleh dilakukan bagi menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran.


Jika semua pengguna dapat mengadaptasikan kaedah ini , insyaallah permasalahan kepenggunaan dapat ditangani secara bersama tanpa terlalu bergantung kepada pihak kerajaan. Kuasa pengguna dilihat kaedah yang terbaik dalam mengatasi kenaikan harga barangan yang tidak munasabah.

@MyIktisad

Isnin, 24 Oktober 2011

Kerajaan Disaran Mewujudkan Bandar Madani Di Kuala Lumpur

Jika kewujudan "ChinaTown" dan "Little India" telah diiktiraf di Malaysia, sudah sampai masanya kerajaan menimbang bagi memperuntukkan suatu kawasan di Kuala Lumpur sebagai Bandar Madani. Bandar ini merujuk kepada bandar yang berteraskan bebas daripada unsur-unsur terlarang di dalam Islam seperti pusat hiburan yang melalaikan, bebas daripada unsur-unsur makanan tidak halal dan sebagainya. Dengan kata lain konsep "halalan toyyiban" menjadi teras utama bandar berkenaan.

Kewujudan bandar ini dilihat sebagai salah suatu usaha bagi mendidik masyarakat menjadi masyarakat yang lebih bertamadun dan bebas daripada masalah sosial. Ianya lebih daripada usaha mempromosikan kehidupan masyarakat Islam dan Melayu yang lebih progressif dan menjadi contoh kepada yang lain. Sesungguhnya belum ada bandar yang sedemikian di Kuala Lumpur walaupun bandar-bandar lain bagi masyarakat dan agama lain telah diiktiraf kewujudannya.

Antara kawasan yang boleh dipertimbangkan untuk tujuan berkenaan ialah di kawasan sekitar tapak Penjara Pudu yang bakal dibangunkan tidak berapa lama lagi. Jika ini dapat dilakukan, barulah jelas menunjukkan suasana kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama di Kuala Lumpur.

@MyIktisad

Sabtu, 22 Oktober 2011

Protes "Occupy Wallstreet" : Menuntut Keadilan Sosial Dalam Ekonomi

Bantahan demi bantahan semakin dilakukan oleh pelbagai pihak yang memperjuangkan keadilan sosial dalam ekonomi. Bantahan ini berpunca daripada senario semasa di Amerika Syarikat, Eropah dan sebagainya yang menunjukkan kekuasaan ekonomi hanya berada pada pihak yang tertentu sahaja. Protes yang dinamakan"Occupy Wallstreet" diberitakan mula merebak ke beberapa negara maju yang lain.

Keadaan ini perlu dijadikan pengajaran kepada kerajaan Malaysia dan pembuat dasar agar berani melakukan perubahan transformasi yang berteraskan mengutamakan kemaslahatan umat dan berpaksikan keadilan sosial yang diamalkan dalam Islam. Konsep rakyat didahulukan dilihat sebagai langkah permulaan yang baik dan apa yang penting ianya perlu diterjemahkan di semua peringkat sama ada di sektor awam ataupun korporat yang melibatkan syarikat berkaitan kerajaan dan semua peringkat sosial di dalam masyarakat. Penguasaan kekayaan oleh golongan tertentu sahaja perlu ditangani agar lebih ramai rakyat boleh mempunyai pendapatan dan kekayaan yang sewajarnya.

Bagi rakyat pula, tanggungjawab kita ialah mengelakkan diri dari sifat-sifat keji seperti tamak haloba, gila kuasa, hasat dengki dan sebagainya.Jika ini semua dapat dilakukan, ianya sudah pasti bakal mewujudkan suasana masyarakat yang hidup dalam suasana aman damai dan harmoni di dunia ini.

@MyIktisad

Kerajaan Kaji Lebih Kawasan Sesuai Bina Lebih Banyak PR1MA

Baru baru ini diberitakan bahawa  Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mengkaji kawasan-kawasan yang bersesuaian untuk dibina rumah-rumah kos rendah di seluruh negara melalui Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.Berdasarkan kajian oleh pihak kerajaan, terdapat kira-kira 90,000 keluarga yang memerlukan rumah untuk dijadikan tempat berlindung.

Oleh yang demikian kerajaan sedang melihat kawasan-kawasan yang sesuai untuk membina rumah kos rendah melalui program PR1MA.Dengan cara ini, lebih ramai rakyat yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan memiliki rumah sendiri.
Sebelum ini Perdana Menteri telah mengumumkan, kerajaan akan memperbanyakkan lagi projek perumahan mampu milik dalam tempoh terdekat setelah menunaikan janjinya melakukan proses cabutan fasa pertama 560 unit pangsapuri PR1MA di Putrajaya pada minggu lepas.Najib dipetik sebagai berkata, kerajaan akan menunaikan kehendak golongan itu untuk memiliki rumah sendiri bagi menyemai perasaan pemilikan hartanah yang lebih erat kepada negara.

Penulis mengucapkan syabas kepada pihak kerajaan di atas usaha ini. Namun dicadangkan juga diwujudkan pakej pemilkan bagi rakyat kelas pertengahan untuk mendapat kediaman pada harga berpatutan. Setidak-tidaknya usaha ini dapat membendung gejala gelembung harga hartanah yang berlaku dipasaran. Kemasukan atau penglibatan kerajaan secara langsung di dalam pasaran dilihat dapat membantu menstabilkan harga rumah di pasaran.

Sumber: Utusan Malaysia

@MyIktisad

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...