1 Ramadhan 1434
KUALA LUMPUR, 9 Julai , 2013- Wakaf Selangor Muamalat (WSM), sebuah usaha sama antara Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), merancang untuk membangunkan sebuah hospital wakaf dalam dua hingga tiga tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid, berkata melaksanakan projek wakaf seperti sekolah dan hospital memerlukan dana yang lebih besar.
"Tetapi, jika kita berganding bahu, kita boleh melakukannya. Kami berharap banyak lagi badan-badan korporat akan menyumbang kepada dana WSM. Dengan dana wakaf yang besar, WSM akan dapat melaksanakan lebih banyak projek," katanya dalam ucapannya pada majlis penyampaian cek kepada WSM oleh MAA Takaful di sini Selasa.
Wakaf ialah sumbangan harta bagi tujuan amal bagi faedah orang ramai.
Dana yang dikumpul itu adalah bagi penambahbaikan dan pembangunan kesihatan dan pendidikan mereka yang memerlukan.
Mohd Redza berkata antara projek-projek wakaf yang menunggu untuk dilaksanakan ialah klinik bergerak wakaf bagi perkhidmatan di Kuala Selangor yang melibatkan kos RM254,900 dan penajaan dua mesin dialisis kepada Klinik Dialisis Nurul Ain yang menelan kos RM76,000.
Selain itu, WMS akan menaja sebuah mesin pencetak timbul untuk mencetak Al-Quran Braille bagi Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) berharga RM16,000, menjadikan keseluruhannya berjumlah RM346,900.
Maklumat lanjut : BERNAMA
No comments:
Post a Comment