Bursa Malaysia

top_rightads

Saturday, September 29, 2012

Bajet 2013 Rangsang Korporat, Bantu PKS

14 Zulkaedah 1433


KUALA LUMPUR 28 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan beberapa insentif yang bertujuan meningkatkan lagi sektor perniagaan dan korporat, di samping membantu usahawan di perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata, usaha juga akan diambil untuk meluaskan penyertaan runcit dalam pasaran bon dan sukuk, menyediakan platform untuk mengumpul sukuk bagi industri pertanian, selain mewujudkan syarikat Malaysia yang bertaraf global.

Najib berkata, Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga akan menyediakan rangka kerja baru bagi terbitan AgroSukuk untuk syarikat yang terlibat dalam sektor berkaitan pertanian.
"Bagi menggalakkan penerbitan sukuk itu, kerajaan akan menawarkan potongan cukai sebanyak dua kali bagi tempoh empat tahun mulai 2012 hingga 2015," katanya ketika membentangkan Bajet 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, sebagai permulaan, DanaInfra Nasional Bhd. akan menerbitkan bon runcit bernilai RM300 juta pada akhir tahun ini untuk membiayai pembangunan projek Transit Pantas Masa (MRT).
"Bon dan sukuk ini juga ditawarkan potongan cukai sebanyak dua kali bagi tempoh empat tahun mulai 2012 hingga 2015 selain pengecualian duti setem untuk pelabur individu ," katanya.
Sementara itu, Najib berkata, kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk Dana Strategik Pelaburan Domestik yang diletakkan di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia bagi merangsang pelaburan domestik, selain mempercepatkan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global.

Perdana Menteri berkata, dana tersebut bertujuan memanfaatkan aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan.
Tambah Najib, dana sebanyak RM1 bilion juga akan disediakan di bawah Skim Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang akan dikendalikan SME Bank untuk memudahkan akses PKS untuk mendapat pembiayaan.

"SME Bank juga akan bekerjasama dengan Bank Pembangunan Islam menyediakan dana sebanyak RM200 juta bagi membiayai modal kerja PKS terlibat dalam industri halal," jelasnya sambil menambah usaha juga akan dilakukan untuk PKS bumiputera berkembang dan mempertingkatkan pegangan ekuiti dalam sektor ekonomi dengan penyediaan Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah RM1 bilion oleh SME Bank.

Katanya, dana tersebut adalah untuk membantu membiayai pengambilalihan anak syarikat milik kerajaan (GLC) menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual.
Dalam perkembangan lain, pengusaha swasta yang terlibat dalam rantaian penapisan, penyimpanan dan dagangan minyak dan gas akan diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus untuk 10 tahun, pengecualian cukai pegangan dan pengecualian duti setem.

Najib berkata, bantuan kos pengambilalihan tanah dan bantuan kewangan merupakan 'tipping point' projek perkongsian awam swasta.

Maklumat lanjut: UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...