top_rightads

Ahad, 31 Mac 2013

Bank Pusat Asia Kaji Kemungkinan Risiko Perbankan Bayangan Dalam Sistem Kewangan

19 Jamadilawal 1434


KUALA LUMPUR, 28 Mac, 2013- Bank-bank pusat Asia mengkaji secara serius kemungkinan risiko aktiviti perbankan bayangan dalam sistem kewangan di seluruh rantau ini sebagai sebahagian daripada strategi untuk terus melindungi keseluruhan sistem kewangan.

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata tidak terdapat maklumat yang mencukupi tentang perbankan bayangan di rantau ini, menyebabkan pembuat dasar Asia mewujudkan kumpulan kerja untuk mengumpulkan maklumat tentang perbankan bayangan.

Beliau berkata perbankan bayangan, yang merupakan sektor perbankan tidak dikawal atur, telah menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan global, terutamanya di Amerika Syarikat.

"Ini adalah sesuatu yang kami mahu tangani segera, sementara ia masih kecil (di rantau ini) dan kurang berkait, tetapi ia akan menjadi semakin besar dari segi skala dan lebih berkait dengan sistem kewangan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan bersama mesyuarat Kumpulan Perundingan Serantau Lembaga Kestabilan Kewangan (FSB) untuk Asia di sini Khamis.

FSB berkata perbankan bayangan didefinisikan perantaraan kredit yang dijalankan oleh entiti tertentu dan melibatkan aktiviti di luar sistem perbankan biasa seperti dana lindung nilai dan dana pasaran wang.

Ia mewakili kira-kira 25 peratus jumlah perantaraan kewangan global.

Zeti berkata kumpulan kerja itu, dijangka menghasilkan penilaian mengenai aktiviti perbankan global di rantau ini pada September, akan melihat kepada kepentingan perniagaan dan rangka kerja pengawal aturan yang boleh menangani potensi risiko yang kemungkinan timbul dalam sektor-sektor ini.

Mesyuarat keempat itu dipengerusikan bersama dengan Gabenor Bank of Korea GKim Choongsoo.

Zeti berkata kumpulan kerja itu akan mengkaji profil perbankan bayangan di Asia, isu-isu dan cabaran serta risiko perbankan bayangan dan akan membandingkan profil Asia dengan trend global.

"Kami akan memahami rejim kawal atur dan kemungkinan melanjutkan rejim-rejim ini kepada perbankan bayangan dan menghasilkan saranan dasar.

"Walaupun ia masih tidak memberi impak ketara kepada sistem kewangan kita, kami mahu mengumpulkan maklumat dan melihat apakan impak kepada keseluruhan sistem kewangan kita.

"Perbankan bayangan di bahagian sebelah sini dunia, mungkin dalam bentuk yang berbeza, tetapi kita tidak mahu berada pada kedudukan di mana kita mempunyai sektor perbankan yang dikawal atur sempurna sementara satu lagi segmen sistem kewangan kita pula kurang dikawal atur dan bercanggah. Ini boleh menyumbang risiko kepada kestabilan kewangan. Ini adalah rasional untuk mengkaji bidang ini," katanya.

Ditanya jika terdapat kemungkinan bank-bank Asia mengawal atur aktiviti perbankan bayangan di masa depan, Zeti berkata ini adalah sesuatu yang patut ditimbangkan oleh setiap bidang kuasa.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Affin Holdings Tamatkan Perundingan Ambil Alih Bank Muamalat

19 Jamadilawal 1434


KUALA LUMPUR, 28 Mac , 2013 Affin Holdings Bhd tidak lagi meneruskan perundingan dengan pemegang saham Bank Muamalat Malaysia Bhd bagi kemungkinan pengambilalihan kepentingan ekuiti dalam bank Islam itu, katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia Khamis.

Keputusan itu dibuat empat hari sebelum tarikh akhir 31 Mac untuk menyiapkan perundingan itu.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Rabu, 27 Mac 2013

PLC Raih Anuegrah Emas GlobalCCU

15 Jamadilawal 1434

KUALA LUMPUR, 26 Mac, 2013- Petronas Leadership Centre (PLC), cawangan pembelajaran utama Petronas Group, memenangi anugerah emas Majlis Universiti Korporat Global (GlobalCCU).

Kejayaan meraih anugerah itu bererti PLC diktiraf sebagai universiti korporat terbaik yang "menggabungkan identiti, budaya dan jenama organisasi itu ke dalam pemegang kepentingannya".

"Sebagai kesimpulan, anugerah itu mengiktiraf peranan PLC sebagai Universiti Korporat Petronas, yang menonjolkan budaya korporat, jenama dan identitinya melalui penyelesaian pembelajaran bitara untuk pemegang kepentingannya," kata PLC dalam kenyataan Selasa.

Ketua Pegawai Eksekutif PLC Yasir Abdul Rahman menerima anugerah itu pada majlis yang diadakan untuk julung kalinya di Paris, Perancis.

Pengerusi GlobalCCU Annick Renaud-Coulon dan ketua pegawai eksekutif Club Med Henri Giscard d'Estaing serta pengerusi Microsoft Europe Jan Muehlfeit, menjadi pengerusi bersama anugerah itu.

Anugerah GlobalCCU memberi pengiktirafan kepada universiti korporat terbaik dari seluruh dunia yang mewujudkan nilai untuk manusia, perniagaan dan masyarakat serta yang mencapai kecemerlangan tertinggi dalam profesion.

Kenyataan itu berkata Jawatankuasa Penasihat dan Penghakiman, yang dianggotai pakar antarabangsa dalam profesion masing-masing, memilih pemenang anugerah itu dalam kalangan finalis dari 19 negara.

Majlis penyampaian anugerah itu turut dihadiri duta Malaysia ke Perancis Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

Yasir berkata pengiktirafan global itu merupakan suatu kejayaan besar bagi PLC, yang tidak mungkin dicapai tanpa sokongan Petronas.

PLC meraih Anugerah GlobalCCU tidak sampai empat bulan selepas ia memenangi Anugerah Pembangunan Sumber Manusia Berhad sebagai Penyedia Latihan Terbaik 2012.

 Sumber : BERNAMA

Rabu, 20 Mac 2013

BNM Umum Penentuan Harga Baharu Pembayaran Elektronik Untuk Tingkat Kecekapan

9 Jamadilakhir 1434

KUALA LUMPUR, 20 Mac, 2013- Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan strategi penentuan harga baharu bagi perkhidmatan pembayaran untuk menangani perbezaan harga antara kaedah pembayaran secara elektronik (e-pembayaran) dengan kaedah pembayaran berasaskan kertas.

Gabenornya Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata menerusi penentuan harga baharu ini, fi untuk kaedah e-pembayaran akan dikurangkan bagi memberikan insentif kepada para peniaga dan pengguna untuk menggunakan kaedah pembayaran yang lebih cekap manakala caj akan dikenakan ke atas cek sebagai mencerminkan kosnya yang lebih tinggi.

Berkuat kuasa 2 Mei 2013, fi untuk urus niaga Sistem GIRO Antara Bank atau IBG (Interbank GIRO) yang dilakukan secara dalam talian melalui perbankan Internet dan perbankan mudah alih, ialah sebanyak 10 sen, katanya.

"Fi sedia ada ialah RM2. Fi IBG dalam talian yang rendah ini bertujuan memberi insentif kepada pengguna untuk beralih daripada kaedah pembayaran berkos lebih tinggi yang lain kepada kaedah pembayaran alternatif yang lebih murah," kata Zeti pada sidang media sempena pelancaran Laporan Tahunan 2012 bank pusat itu.

Zeti berkata pembayaran dalam talian melalui perbankan Internet dan perbankan mudah alih memberi manfaat yang ketara kepada individu dan peniaga.

Selain itu, setiap individu akan menikmati kemudahan urus niaga pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa perlu beratur di kaunter bank, manakala peniaga pula boleh mengurangkan kos menjalankan perniagaan melalui pengurangan atau penggunaan semula sumber yang sebelum ini digunakan untuk mengendalikan wang tunai dan cek.

"Melalui peningkatan pembayaran secara elektronik, kos daripada pemprosesan secara manual, termasuk kos penghantaran melalui pos, akan dapat dijimatkan.

Sementara itu, bagi mengurangkan kos dan ketidakcekapan yang berkaitan penggunaan cek, caj untuk cek akan dinaikkan secara beransur-ansur bagi mencerminkan kos pengeluaran sebanyak RM3.00 bagi setiap cek.

Zeti berkata tempoh setahun akan diberikan kepada orang ramai dan para peniaga untuk membiasakan, menyesuaikan diri dan beralih kepada penggunaan IBG bagi urusan pembayaran mereka.

Dalam tempoh setahun ini, Bank Negara Malaysia akan bekerjasama rapat dengan pihak industri kewangan untuk terus menambah baik infrastruktur pembayaran bagi memastikan perkhidmatan pembayaran dapat diakses secara meluas, selamat dan mudah.

"Berkuat kuasa 1 April 2014, pihak bank akan mengenakan caj memproses cek sebanyak 50 sen bagi setiap cek kepada pengeluar cek. Fi ini ialah tambahan kepada duti setem sedia ada sebanyak 15 sen bagi setiap cek.

"Selain cek dan IBG, pelarasan harga terhadap kaedah dan saluran pembayaran lain, termasuk mesin juruwang automatik (ATM), akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat untuk menggalakkan pengguna menggunakan e-pembayaran yang lebih berkesan kos," katanya.

Menurutnya menjelang tahun 2020, penentuan harga bagi semua perkhidmatan pembayaran adalah berdasarkan kos menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Kini, terdapat 1.6 bilion urus niaga kewangan yang dibuat menerusi kaedah elektronik, iaitu dua kali jumlah urus niaga pada tahun 2006.

Walaupun kemajuan yang dicapai setakat ini adalah menggalakkan, sasarannya adalah untuk meningkatkan jumlah e-pembayaran per kapita daripada 56 pada tahun 2012 kepada 200 pada tahun 2020 serta mengurangkan bilangan cek yang dijelaskan dalam negara kepada separuh, iaitu daripada 204 juta cek kepada 100 juta dalam tempoh yang sama.

Gabenor itu berkata pencapaian sasaran ini akan membawa Malaysia hampir kepada matlamatnya untuk memperoleh penjimatan tahunan sehingga satu peratus daripada KDNK seperti yang ditunjukkan oleh kajian-kajian yang telah dijalankan.

Kajian menunjukkan bahawa sesebuah ekonomi akan menikmati penjimatan tersebut apabila beralih daripada sistem pembayaran berasaskan kertas kepada e-pembayaran.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Sektor Perbankan Islam Catat Pertumbuhan Dua Angka Dalam Jumlah Aset

9 Jamadilawal 1434

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Sektor perbankan Islam meneruskan trajektori pertumbuhannya dengan mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 13.8 peratus dalam jumlah aset, mencakupi 23.8 peratus daripada jumlah aset dalam keseluruhan sistem perbankan.

Dengan peralihan sistem kewangan Islam Malaysia kepada sistem yang lebih berorientasi antarabangsa, jumlah perniagaan mata wang asing termasuk yang dijalankan oleh Bank-Bank Islam Antarabangsa dan Unit Perniagaan Mata Wang Antarabangsa telah meningkat sejak beberapa tahun ini.

Kini, terdapat 16 institusi perbankan Islam di Malaysia yang beroperasi sebagai anak syarikat berasingan dan 10 operasi perbankan Islam yang dijalankan melalui jendela Islam pada akhir 2012, kata Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2012 yang dikeluarkan Rabu.

Menurut BNM, dalam sektor takaful, jumlah aset dana takaful telah meningkat 12.4 peratus kepada RM19 bilion sementara caruman takaful mencakupi 13.6 peratus daripada jumlah premium dan caruman dalam industri insurans dan takaful.

Meski pun menghadapi persekitaran global yang mencabar, katanya terbitan sukuk di Malaysia kekal kukuh dengan beberapa terbitan sukuk berbilang mata wang yang penting oleh syarikat multinasional, korporat dan agensi multilateral.

Hasilnya, Malaysia terus menjadi peserta utama dalam pasaran sukuk global dengan sukuk yang diterbitkan di Malaysia pada tahun lepas mencakupi 74 peratus, berbanding 71.6 peratus pada 2011, daripada jumlah terbitan sukuk global.

Maklumat lanjut: BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...