top_rightads

Rabu, 19 November 2014

Kerajaan Perlu Turunkan Harga RON 95 Jika Harga Semasa Terus Jatuh

26 Muharram 1436

Kerajaan perlu menurunkan harga petrol RON 95 jika harga semasa sebenar dipasaran jatuh lebih rendah daripada harga yang ditetapkan sebanyak RM 2.30 seliter baru-baru ini. Jika sebelum ini, subsidi kepada rakyat dinyatakan apabila perbandingan dibuat dengan harga semasa lebih tinggi, maka ianya perlu diturunkan jika harga semasa kurang daripada RM2.30 seliter.

Jika ini tidak dilakukan, ianya dilihat bahawa rakyat pula yang mengsubsidikan kerajaan. Ini akan mendatangkan imej yang teruk kepada pihak kerajaan pula. Dengan kata lain, kerajaan dilihat tidak mempunyai jalan lain iaitu dengan mengurangkan harga petrol RON 95 jika ianya jatuh lebih kurang daripada harga yang ditetapkan.

Wallahualam

Khamis, 16 Oktober 2014

Kerajaan Digesa Lebih Inovatif Bangunkan Usahawan

21 Zulhijjah 1435

Kerajaan perlu keluar daripada kepompong memberikan pinjaman dan geran semata-mata bagi membangunkan usahawan di Malaysia terutama yang melibatkan golongan bumiputra. Selain daripada mengekalkan kemudahan dan geran, sokongan boleh diberikan dari sudut membeli perkhidmatan dalam tempoh tertentu daripada usahawan berkenaan. Kerajaan perlulah keluar dari kepompong pemikiran bahawa untuk melahirkan usahawan ianya hanya menjurus kepada sektor pertanian,pembinaan dan pembuatan semata-mata.

Salah satu contoh,sektor perkhidmatan sebenarnya juga membuka peluang kepada para ushawan seperti menjadi agen takaful dan sebagainya. Bayangkan jika sektor kerajaan membuka peluang kepada 100 agen takaful untuk menyediakan perkhidmatan takaful di sektor kerajaan secara tahunan, sah-sah 100 usahawan dapat dilahirkan dan mereka perlu diberi masa tempoh tertentu (3 hingga 4 tahun) bagi menyediakan perkhidmatan kepada sektor berkenaan.

Selepas tempoh berkenaan, peluang berkenaan haruslah diberikan kepada 100 ushawan yang lain pula di mana usahawan yang diberikan kontrak sebelum ini, diharapkan dapat bersaing pula secara terbuka di sektor swasta dan merebut peluang lain di sektor berlainan. Cara ini dilihat lebih inovatif untuk diamalkan dan ianya bakal mengurangkan dana yang perlu dikeluarkan oleh pihak kerajaan bagi membangunkan usahawan baru. Perkhidmatan takaful yang mungkin diambil secara terus oleh pihak kerajaan,di mana pihak pengendali mendapat manfaat secara terus, sebaliknya harus diberikan peluang kepada para usahawan bagi membina perniagaan mereka.

Wallahualam

Rabu, 8 Oktober 2014

Pengurangan Subsidi Tak Sepatutnya Digunapakai bagi Menampung Kenaikan Gaji Kakitangan Awam atau Menaikkan BR1M

13 Zulhijjah 1435

Pengurangan subsidi bahan api seperti minyak yang telah diumumkan oleh kerajaan Malaysia baru-baru ini tidak seharusnya diguna bagi menaikkan gaji kakitangan awam atau menaikkan lagi bayaran Bantuan Rakyat 1 Malaysia. Ini bakal mengundang malapetaka kali kedua terhadap ekosistem perekonomian di Malaysia. Kenaikan gaji kakitangan awam dan kenaikan BR1M bakal menyebabkan kenaikan berganda harga barangan dan perkhidmatan terhadap sistem ekonomi Malaysia.

Penjimatan tersebut perlulah disalurkan ke sektor-sektor yang lebih produktif seperti memperbaiki taraf kemudahan kesihatan, memperbaiki dan memperkasakan kemudahan sekolah kebangsaan, membina lebih banyak lebuhraya tanpa tol , memperbaiki sistem pengangkutan awam, memperbaiki sistem ICT di sektor awam bagi memudahkan rakyat berurusan dan lain-lain lagi.

Jika hendak menampung perbelanjaan kakitangan awam, bantuan berbentuk tidak kekal (seperti elaun-elaun tertentu kepada kumpulan sasaran)boleh dipertimbangkan agar ianya tidak terus membebankan kewangan kerajaan dan sumber-sumber yang boleh digunapakai ialah dari sumber lain seperti penjimatan kos operasi sektor awam dan lain-lain lagi.

Jika ini dapat dapat dilakukan ianya sedikit sebanyak dapat melegakan emosi rakyat dan rakyat akan terus dapat berfikir secara lebih rasional.


Wallahualam

Selasa, 2 September 2014

Krisis MB Selangor Bakal Menjejaskan Pertumbuhan Ekonomi

7 Zulkaedah 1435

Krisis berpanjangan menentukan siapakah yang bakal menggantikan Menteri Besar(MB) Selangor kemungkinan bakal menjejaskan pertumbuhan ekonomi Selangor dan Malaysia amnya. Namun begitu, pengekalan MB sedia ada sehingga adanya calon sesuai, dilihat akan  dapat meminimakan impak berkenaan dalam jangka masa pendek.

Namun begitu, jika ianya tidak dapat diselesaikan dalam jangka masa panjang, ianya bakal mengganggu proses membuat perancangan dan penggubalan dasar ekonomi negeri terutama dari segi perlaksanaan inisiatif di peringkat akar umbi. Oleh yang demikian, kita berharap pihak yang berkepentingan mengutamakan soal kebajikan rakyat berbanding dengan kepentingan peribadi.

Wallahualam

Ahad, 17 Ogos 2014

Melabur Secara Ikut Ikutan Berisiko Tinggi

21 Syawal 1435

Penulis telah bertemu dengan beberapa rakan yang kini mula berkecimpung dalam pelaburan saham. Minat berkenaan timbul disebabkan mereka telah menghadiri beberapa seminar berkenaan pelaburan saham. Bagi penulis yang pernah bekerja di syarikat pembrokeran saham, minat berkenaan haruslah dipuji.

Namun penulis mula rasa tidak selesa apabila mengatahui melalui percakapan mereka bahawa mereka agak kurang mengambil risiko tertentu dari segi aspek pelaburan saham. Antaranya terlalu bergantung kepada tip-tip yang diberikan oleh pihak-pihak tertentu tanpa mengambil kira aspek risiko perubahan ekonomi dunia, keadaan semasa, suasana geopolitik dunia dan lain-lain lagi.Pengalaman penulis pada krisis kewangan di Malaysia pada hujung tahun 90an masih lagi terbayang.

Antara perkara yang mereka alpa juga ialah kegagalan memahami bahawa ada kumpulan-kumpulan tertentu yang membuat sesuatu pelaburan dalan sesuatu syarikat atau kaunter. Bagi pengalaman penulis, tips hanya akan diberikan apabila seseorang individu atau sesuatu kumpulan itu sudah membeli/membuat pelaburan sesuatu kaunter di Bursa Malaysia. Maka dengan adanya media social yang ada sekarang ini, maka tips-tips berkenaan akan dihebahkan kepada pengikut-pengikut yang membuat pelaburan secara kecil kecilan dan saham berkenaan akan naik mendadak. Ianya dikuatkan lagi dengan pelbagai teori graf pergerakan dan sebagainya sebagai menyokong hujah berkenaan tanpa melihat aspek fundamental dan objektif pelaburan.

Bila saham berkenaan naik, maka individu atau kumpulan berkenaan akan menjual pelaburan berkenaan terlebih dahulu dan kemudian membuat kenyataan atau cadangan agar saham tersebut dijauhi seketika. Maka pihak yang kecil yang lambat membuat keputusan menjual akan mengalami kerugian disebabkan perkara demikian. Lainlah kalau dapat tip daripada individu yang belum membeli saham berkenaan secara besar besaran tetapi mempunyai perancangan dalam jangka masa terdekat. selalunya ianya jarang diperolehi.

Oleh yang demikian, pelabur-pelabur perlulah bijak dan berhati-hati dalam membuat pelaburan di bursa saham. Sebaiknya laburlah di dalam syarikat yang berkeupayaan memberi dividen setiap tahun dan mempunyai perniagaan teras yang teguh. Selepas itu, barulah diapplikasikan dengan teknik dan pelbagai kaedah ramalan pergerakan harga saham dan sebagainya.

Wallahualam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...