top_rightads

Selasa, 13 Disember 2011

Malaysia Tidak Perlu Sumbang Kepada Dana Penyelamat Eropah:Tun Mahathir

17 Muharram 1433 Hijrah


Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar & Norsyafawati Abdul Wahab


 PUTRAJAYA, 12 Dis ,2011- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengecam Eropah kerana melancarkan dana penyelamat untuk membantu ekonomi-ekonomi anggotanya yang bergelut dengan krisis hutang mereka, dengan menyatakan negara-negara Eropah sepatutnya tidak hidup di luar daripada kemampuan mereka.

Beliau berkata Malaysia tidak perlu menyertai dana penyelamat Eropah itu kerana mereka tidak banyak membantu Malaysia semasa krisis kewangan Asia 1997/98.

Menurutnya, dana lindung nilai baratlah yang menyerang ringgit Malaysia dan mata wang Asia lain, yang menyebabkan kegawatan kewangan di mana ekonomi-ekonomi serantau mengambil masa yang panjang untuk bangkit semula.

Dan apabila Malaysia membantu syarikat-syarikatnya pulih daripada krisis tanpa meminta bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa dan mengekalkan kebebasan kewangannya, mereka mengkritik kerajaan kerana mengguna pakai polisi tidak ortodoks untuk mengelak bencana kewangan.

"Tidak, mengapa kita perlu bantu? Jika saya dalam kerajaan, saya tidak akan berbuat demikian. Saya tidak rasa Malaysia harus menyumbang apa-apa, mereka cuba membankrapkan kita sebelum ini dan mereka melemahkan mata wang kita," katanya semasa ditanya sama ada Malaysia perlu menyumbang kepada dana penyelamat itu selepas pemimpin Eropah bersetuju mengetatkan peraturan bajet dan menubuhkan dana penyelamat yang lebih besar di Sidang Kemuncak Kesatuan Eropah minggu lepas.

"Sekarang, mereka menerima nasib yang sama, jadi biarkan mereka menyelesaikannya sendiri. Sebenarnya, kekayaan mereka bukan kekayaan sebenar," kata bekas perdana menteri itu yang mendapat pujian kerana menyelamatkan Malaysia daripada bencana kewangan, dalam satu wawancara dengan Bernama dan Bloomberg.

Dr Mahathir berkata kedua-dua Amerika Syarikat dan Eropah merupakan pengeluar kereta dan perkakasan rumah terbesar dunia tetapi kemudiannya menumpukan kepada industri kewangan selepas negara-negara Timur seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan mula mengeluarkan produk yang sama.

"Pasaran kewangan bukan perniagaan sebenar kerana ia tidak mewujudkan pekerjaan dan tiada keluaran sampingan. Mereka mendapat berbilion-bilion dolar hanya dengan memindahkan nombor dalam akaun bank.

"Apabila mereka mula melabur dengan menggunakan wang pinjaman untuk menambah keuntungan, akhirnya keseluruhan sistem tumbang disebabkan aktiviti perjudian, spekulasi dan manipulasi. Sekarang mereka miskin, tetapi mereka tidak mengakuinya dan mahu hidup dengan gaya mereka sendiri.

"Apabila kerajaan mereka mahu melaksanakan program berjimat cermat, mereka membantahnya menerusi demonstrasi, yang memburukkan lagi keadaan," kata Dr Mahathir. Ramai pakar ekonomi Barat meminta kerajaan Malaysia agar tidak menyelamatkan syarikat, tetapi melaksanakan bajet lebihan dan menaikkan kadar faedah untuk mengurangkan perbelanjaan, namun kerajaan memutuskan untuk tidak mendengar pandangan mereka.

Malaysia yang tidak mengendahkan gesaan agar membuat perbelanjaan lebih ketat telah mengguna pakai langkah-langkah tidak ortodoks dengan melonggarkan perbelanjaan dan menurunkan kadar faedah bagi merangsang aktiviti perniagaan yang membantu negara pulih beransur-ansur daripada krisis kewangan.

Kerajaan juga mengenakan kawalan modal termasuk menambat ringgit berbanding dolar AS dan melarang dagangan ringgit di luar negara dalam usaha menghentikan spekulasi terhadap ringgit Malaysia.

Serangan spekulatif itu menyaksikan ringgit menjunam berbanding dolar AS daripada RM2.42 pada Julai 1997 kepada hingga serendah RM5.20 kira-kira setahun kemudiannya, yang menyebabkan Dr Mahathir menambat ringgit berbanding mata wang AS itu kepada RM3.80 di bawah kawalan modal.

"Kita melakukan bertentangan dengan apa yang digesa mereka. Sekarang mereka melakukan semua perkara yang kita buat, tetapi dengan lebih besar lagi, dengan Jerman menyelamatkan Greece dengan US$300 bilion. "Kita hanya menyelamatkan syarikat semasa krisis kewangan sekitar RM200-RM300 juta sahaja," kata beliau.

Ditanya mengenai cara untuk menyelesaikan masalah di Eropah, Dr Mahathir berkata mereka tidak seharusnya hidup di luar daripada kemampuan mereka.

"Jika anda miskin, anda hidup seperti orang miskin, terima bayaran murah, standard hidup perlu rendah dan tidak terlalu berbelanja.

"Tetapi masalahnya, kini mereka mahu hidup seperti mereka kaya," kata Dr Mahathir.

 Sumber - BERNAMA

Jumaat, 9 Disember 2011

Warga Malaysia Belanja Purata RM46 Sebulan Bagi Internet Mudah Alih

14 Muharram 1433 Hijrah

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Rakyat Malaysia membelanjakan purata US$15 (RM46) sebulan bagi Internet mudah alih, satu segmen yang telah berkembang lebih daripada sekali ganda sejak tahun lepas dengan pertumbuhan dijana terutamanya oleh pengguna dalam golongan usia 15-25 tahun.

Empat kegiatan utama berkaitan mudah alih yang paling digemari oleh rakyat Malaysia ialah menghantar emel, mengakses laman perangkaian sosial, memuat turun nada dering dan menghantar mesej segera, demikian menurut kaji selidik tahunan Indeks Net 2011 Yahoo! Jumaat.

"Penggunaan telefon bimbit yang ada ciri pintar dan pelan data termampu, ciri-ciri canggih seperti fungsi panggilan dan teks, capaian kepada laman web mudah alih dan ciri-ciri multimedia memang lumrah di kalangan rakyat Malaysia," kata kaji selidik itu.

DiGi adalah penyedia perkhidmatan telefon pintar dan mudah alih paling terkemuka di Malaysia dan menguasai 47 peratus pasaran, diikuti oleh Maxis (32 peratus dan Celcom (lapan peratus).

Ia juga berkata berbanding negara-negara Asia Tenggara lain, rakyat Malaysia cenderung memiliki telefon bimbit mahal termasuk telefon pintar.

Menurut tinjauan itu lebih daripada 60 peratus pengguna mudah alih di negara ini memiliki telefon bimbit bernilai US$100 (RM312) dan hampir seperempat memiliki telefon bimbit yang berharga lebih daripada US$300 (RM937) berbanding telefon berciri harga rendah yang digunakan dengan meluas di Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Berbeza dengan pasaran Asia Tenggara laindi mana Nokia merupakan pengeluar dominan, Malaysia adalah satu-satunya pasaran yang didominasi oleh Sony Ericsson dengan penguasaan pasaran sebanyak 39 peratus, diikuti oleh Nokia (26 peratus) serta Blackberry dan Apple (masing-masing enam peratus).

 Sumber- BERNAMA

Ahad, 4 Disember 2011

Jangan Hanya Pembekal Barangan KR1M Sahaja DiPantau Untuk Mengikuti Ujian Makmal

9 Muharram 1433 Hijrah

Penulis hanya mampu tersenyum sinis bilamana membaca berita yang menyebut bahawa pihak pengurusan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) telah mengarahkan semua pembekal produk 1Malaysia menghantar produk mereka untuk ujian makmal berkala.Dalam satu kenyataan berkenaan , KR1M berkata ujian bagi semua 250 produk 1Malaysia yang melibatkan kos RM300,000, akan ditanggung oleh pembekal dan pembuat itu sendiri. Kos berkenaan  tidak akan dibiayai oleh Kerajaan, atau NGO, atau pengurusan KR1M," kata kenyataan itu.

 KR1M berkata pelabelan dan kandungan adalah dua isu berbeza yang boleh berlaku pada sebarang produk, terutama produk yang baru memasuki pasaran, dan mesti diperbetulkan dan diperbaiki, dan tidak diklasifikasi sebagai "tidak selamat" atau berbahaya jika diguna.Sabtu lepas, Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa 13 produk 1Malaysia gagal mematuhi Peraturan Makanan 1985, dan ia telah mengambil tindakan sewajarnya.

Ini adalah susulan serangan bertali arus parti pembangkang terhadap inisiatif berkenaan. Sekurang-kurangnya mereka berjaya menjatuhkan moral para pembekal kedai berkenaan. Bagi penulis ini adalah salah satu usaha sabotaj kepada para pembekal yang rata-ratanya baru mula bertatih dan mendapat peluang menjadi pembekal. Awal-awal lagi golongan ini telah dikenakan syarat yang amat ketat. Sepatutnya mereka diberi sedikit kelonggaran dan setiap ujian perlu dilakukan mengikut kemampuan mereka dan secara beransur-ansur.Yang manjadi nasib malang, rata-rata pembekal ini adalah dari kalangan pihak(yang penulis percaya) atau bangsa yang mengamalkan prinsip halalan toyyiban. Penulis lebih yakin melanggan produk mereka daripada produk yang dikeluarkan oleh pihak yang dengki dan busuk hati .Tahniah penulis ucapkan kepada pemimpin parti politik ini dan penyokong mereka kerana menghalang yang halal dan lebih yakin kepada barangan yang dikeluarkan atas dasar keraguan dari sudut Islam.

Namun begitu, penulis berharap kerajaan juga tidak mengambil sikap berasa gentar untuk menguatkuasakan kajian berkala ke atas pasaraya-pasaraya lain diseluruh negara. Ini tanpa mengambil kira warna kulit pembekal yang terlibat. Isu halal perlu diberi perhatian yang paling serius terhadap barangan yang dibekalkan di pasaraya-pasaraya. Setiap barangan yang tidak mendapat logo halal yang sah perlulah diasingkan dari jualan biasa. Penulis nak tengok apa pula reaksi parti yang mendukung konsep liberal dan paling rasis di dunia ini jika langkah ini dilakukan secara agresif. Sudah sampai masanya soal halal dalam makanan dari sudut pandangan umat Islam tidak lagi dipandang mudah dan sambil lewa.

@MyIktisad

Sabtu, 3 Disember 2011

KLIA 2 : Itu Harta Bukan Kau Yang Punya.. Ahmad Albab Yang Punya...?

7 Muharram 1433 Hijrah

Emosi penulis agak terusik bila membaca pertikaian secara terbuka di antara syarikat penerbangan AirAsia(AA) dan pengendali lapangan terbang Malaysia Airport Holding Berhad(MAHB) di akhbar hari ini  berkenaan pembinaan KLIA 2. Ini disebabkan oleh beberapa perkara yang tidak dipersetujui oleh AA terhadap spesifikasi pembinaan tersebut yang tidak menepati model perniagaan mereka yeng telah dilakukan oleh pihak MAHB.

Cuma penulis ingin bertanya, KLIA itu milik siapa dan harta siapa? Bukankah pengendali tambang murah lain termasuk dari luar negara pun akan beroperasi di terminal berkenaan?  MAHB perlu melihat keperluan kesemua pengendali dan bukannya AA sahaja.Oleh itu hentikanlah lagak kononnya AA mendapat restu daripada kerajaan atas apa jua tindakan mereka. Ini bakal memberikan rasa mual dan meluat dikalangan rakyat yang berfikiran kritis terhadap layanan istimewa kepada individu-individu korporat tertentu. Apatah lagi PRU dah nak dekat dah ni.Jangan cemarkan imej parti pemerintah.Ataupun persoalannya pengurusan AA berada di kem mana sekarang ini ?Atau adakah pengurusan AA cuba mensabotaj sekali lagi imej kerajaan sekarang yang begitu bergelut dan bersungguh-sungguh mendapatkan persepsi positif dikalangan rakyat?

Kepada MAHB, pertahankanlah dasar anda. Saya amat setuju agar segala pertikaian dibincang secara tertutup dan anda bukannya menunjukkan lagak seperti ahli politik dan hendak mendapat kredit di media massa. MAHB juga perlu mempertahankan air muka kerajaan dan tanggungjawab ke atas sumber dan harta milik rakyat. Setiap pembangunan perlua dibuat untuk kepentingan semua, dan bukannya untuk kepentingan sekelompok individu sahaja kerana...Itu Harta Bukannya Kamu Yang Punya....

@MyIktisad

TM Raih Dua Anugerah PIKOM

7 Muharram 1433 Hijrah

 KUALA LUMPUR, 2 Dis 2011- Telekom Malaysia Bhd (TM) menerima anugerah Organisasi ICT Terbaik pada majlis makan malam ulangtahun ke-25 PIKOM dan anugerah kepimpinan ICT 2011 di sini.

Dalam satu kenyataan di sini, TM berkata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Zamzamzairani Mohd Isa juga dipilih sebagai Personaliti ICT Terbaik tahun ini.

"Anugerah ini akan memberi motivasi kepada kami untuk terus menambah baik perkhidmatan dan nilai kepada pelanggan kami setelah mereka terus mengukuhkan kedudukan TM sebagai penyedia penyelesaian komunikasi bersepadu utama di Malaysia dan juga juara jalur lebar negara," kata Zamzamzairani.

TM berkata ia kini di peringkat berikutnya untuk meningkatkan perkhidmatan semasa dengan aplikasi inovatif bagi menyediakan pengalaman pelanggan yang hebat sama ada dengan perkhidmatan dan produk pengguna atau tawaran perniagaan.

Diadakan sempena sambutan ke-25 tahun PIKOM dalam menerajui industri ICT, Anugerah Kepimpinan ICT, yang diwujudkan pada 2008, menghargai individu dan syarikat yang menunjukkan amalan terbaik ICT dalam industri mereka dengan komitmen dan strategi perniagaan inovatif diperlukan untuk berkembang di Malaysia dan dan peringkat dunia.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili.

 Sumber -BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...