top_rightads

Khamis, 20 Oktober 2011

Menu Rakyat 1 Malaysia Sedap, Berkualiti

Utusan Malaysia telah melaporkan pada 18 Okt. 2011 bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah memuji makanan yang dijual di restoran yang menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia sambil menyifatkannya sebagai sedap dan berkualiti.Perdana Menteri menyatakan sedemikian selepas menikmati nasi berlaukkan ayam masak merah, ayam masak kicap, daging goreng, sayur taugeh dan papadom di Restoran Ukhwah di Lorong Medan Tuanku di sini hari ini.Kunjungan Najib ke premis itu adalah untuk menikmati dan menilai sendiri kualiti makanan yang dijual kepada rakyat pada harga RM4 untuk makanan tengah hari dan RM2 untuk sarapan.

"Perdana Menteri datang semata-mata untuk makan. Beliau nak rasa sendiri makanan yang dimakan oleh rakyat," katanya kepada pemberita.Kunjungan Najib juga membuktikan bahawa persepsi sesetengah pihak kononnya menu murah di premis atau restoran yang menyertai program anjuran kementerian itu tidak berkuliti, adalah tidak benar.Katanya, kualiti makanan yang dijual di premis atau restoran yang menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia adalah sama seperti makanan yang dijual di tempat lain dan kementerian sentiasa turun padang memantau keadaan agar aspek kualiti tidak diambil mudah.Program Menu Rakyat 1Malaysia dilancarkan pada 7 Julai lepas bertujuan membantu meringankan beban perbelanjaan harian rakyat.

Difahamkan  bahawa  program itu menerima sambutan amat menggalakkan dengan sasaran 1,000 kedai menjelang hujung tahun ini dicapai lebih awal kerana setakat ini 1,004 restoran sudah menyertai program itu.Daripada jumlah itu, Perak mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 152 diikuti Selangor (137), Terengganu (123), Kedah (104), Pahang (103), Sarawak (64), Pulau Pinang (61), Johor dan Sabah (52), Kuala Lumpur (46), Kelantan (41), Negeri Sembilan (34), Melaka (18), Perlis (12), Labuan (tiga) dan Putrajaya (dua).

Sumber : BERNAMA & Utusan Malaysia

Isnin, 17 Oktober 2011

Bank Muamalat Untung RM 40.8 juta

Bank Muamalat Malaysia Bhd telah melaporkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM40 juta bagi suku pertama, merujuk kepada tiga bulan terkini Jun 2011.Keuntungan bersih juga dicatatkan sebanyak RM 28.9 juta dalam tempoh yang sama dibawah kajian semula. Prestasi yang mantap ini mencerminkan sumbangan yang lebih tinggi daripada pendapatan operasi dan peningkatan kualiti aset di mana peruntukan untuk kemerosotan nilai ke atas pembiayaan dalam keadaan sederhana dalam tempoh tiga bulan sehingga Jun 2011.

Jumlah pendapatan meningkat kepada RM 206.5juta dalam tempoh tiga bulan yang dilaporkan, meningkat sebanyak 16.2 % berbanding tahun lalu.Ini disebabkan terutamanya oleh peningkatan sebanyak 9.6% dalam pembiayaan, yang meningkat kepada RM 7.3 billion pada akhir Jun 2011 dengan peningkatan permintaan yang kukuh bagi kedua-dua produk iaitu pengguna dan perniagaan.

Maklumat Lanjut : http://www.muamalat.com.my/

Ahad, 16 Oktober 2011

Hub Halal Di Selayang Bakal Disewa/Dijual

Pada 24 Ogos 2011 yang lalu, penulis telah mengutarakan isu hab halal di Selayang yang seakan telah terbiar di http://myiktisad.blogspot.com/2011/08/apa-jadi-dengan-wisma-hub-halal-di.html. Namun begitu ketika penulis  ke Selayang pada pagi tadi penulis telah terpandang iklan besar di bangunan berkenaan yang mana bangunan berkenaan telah diiklankan untuk disewa atau dijual.

Maka dengan itu, penulis terpaksa membuat kesimpulan bahawa pelan asal pada bangunan berkenaan untuk dijadikan hub hala tidak akan diteruskan. Penulis mencadangkan agar NGO-NGO Islam yang menitikberatkan soal halal dan haram, yang mempunyai kuasa pendesak agar mengambil inisiatif untuk mengambilalih bangunan berkenaan. Ianya boleh dilakukan dengan menubuhkan sebuah syarikat dan menerbitkan saham kepada NGO-NGO Islam dan individu lain  yang berminat bagi melabur di dalam syarikat berkenaan untuk mewujudkan dana bagi tujuan berkenaan. Ini penting kerana umat Islam seakan sudah tiada masa lagi untuk berhetorik dan berpolitik secara berterusan tanpa disusuli tindakan konkrit bagi memajukan ekonomi umat Islam. Ini penting bagi mewujudkan lebih banyak industri halal yang mana pengguna yang beragama Islam tidak akan berasa was-was lagi bagi melakukan pembelian barang keperluan asas harian.

Produk-produk halal itu juga semestinya berpeluang dipasarkan kepada bukan Islam jika harga yang ditawarkan adalah kompetitif selain menawarkan ciri-ciri kebersihan dan kualiti yang tinggi.

@MyIktisad

Sabtu, 15 Oktober 2011

Bagaimana Negara Boleh Mencapai Belanjawan Berimbang?

Kerajaan disaran menyasarkan belanjawan berimbang pada tahun-tahun akan datang bagi menguatkan sistem pertahanan ekonomi negara. Ianya boleh dilakukan bukannya dengan mengurangkan jumlah peruntukan, tetapi memastikan agar segala proses perolehan dan perbelanjaannya diperolehi pada harga yang kompetitif. Ini bermaksud tiada ruang bagi golongan yang mengaut keuntungan berlebihan bagi setiap usaha dan inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan. Ini termasuklah pembangunan infrastruktur negara di seluruh kawasan. Gejala rasuah perlulah dibendung secara besar-besaran.

Belanjawan berimbang bermaksud jumlah belanjawan yang dirancangkan adalah bersamaan dengan jumlah pendapatan yang disasarkan oleh negara dalam suatu tempoh.Kerajaan juga boleh memulakan inisiatif ini pada tahun 2012 dengan memperkenalkan perbelanjaan berimbang. Ianya menerusi kaedah yang memastikan setiap perbelanjaan yang dibuat adalah tidak akan melebihi daripada pendapatan negara. Ianya boleh dimulakan di sektor-sektor awam yang mana setiap perbelanjaan perlulah mengikut keperluan sebenar dan mengamalkan dasar mendahulukan yang perlu didahulukan,dan dikemudiankan bagi yang kurang perlu. Setiap perbelanjaan perlulah disalaurkan kepada aktiviti-aktiviti yang produktif.

Jika ini dapat dilakukan ianya bakal menguatkan sistem pertahanan ekonomi negara yang mana ianya bakal menaikkan rezab dan mengurangkan kebergantungan kepada hutang. Penulis yakin kita mampu melakukannya.

@MyIktisad

Jumaat, 14 Oktober 2011

TM Dan JAKIM Bangunkan Portal Halal

Bernama pada 13 Oktober 2011 telah melaporkan bahawa TM Info-Media Sdn Bhd(TMIM), anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Bhd, telah menandatangani memorandum persefahaman(MoU) dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) bagi pembangunan portal halal. Mengikut kerjasama berkenaan, TMIM yang juga menerbitkan direktori "Yellow Pages", bertanggungjawab untuk membangunkan dan menyelenggara portal halal tersebut manakala JAKIM pula bakal menyediakan senarai syarikat yang diberikan pensijilan halal.

Portal berkenaan boleh dilayari di http://www.halalpages.com.my/, yang merupakan portal yang menyediakan kepada para pengguna senarai produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan pengesahan halal dan diperakui oleh JAKIM. Hanya syarikat-syarikat yang disahkan halal dibenarkan menempatkan produk mereka yang disahkan halal di dalam portal berkenaan yang dikemaskini dua minggu sekali.

Sumber: Bernama
@MyIktisad

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...