top_rightads

Sabtu, 16 Mac 2013

BT Sasar Wujudkan 600-800 Pekerjaan Di M'sia Dalam 3 Tahun Akan Datang

5 Jamadilawal 1434

KUALA LUMPUR, 15 Mac , 2013- British Telecommunications Plc (BT) menyasarkan pewujudan 600 hingga 800 pekerjaan berpendapatan tinggi dan bernilai tinggi di Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan pembukaan sebuah kemudahan Perkhidmatan Berkongsi Global di Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan, BT berkata pekerjaan-pekerjaan baharu ini merangkumi jawatan pemaju perisian, pengurus jaminan kualiti, pemimpin teknikal, pengurus projek dan jawatan dalam fungsi-fungsi sokongan yang lain.

BT ialah sebuah anak syarikat milik penuh BT Group Plc, sebuah syarikat perkhidmatan telekomunikasi multinasional Britain yang beribu pejabat di London.

Kemudahan Perkhidmatan Berkongsi Global yang baru dibuka oleh BT itu merupakan perkongsian dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC).

Presiden BT Global Services bagi Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika, Kevin Taylor, berkata pelaburan kumpulan itu di Malaysia membolehkannya memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya dengan memanfaatkan pekerja berbakat tempatan di negara-negara seluruh dunia dan menyokong usaha peluasannya di rantau-rantau pertumbuhan tinggi.

BT berkata kemudahan itu terdiri daripada dua pusat, yang menempatkan pasukan berkemahiran tinggi BT untuk memberikan perkhidmatan yang menyokong keperluan perniagaan syarikat itu di seluruh dunia.

"Yang pertama ialah Pusat Pembangunan Global (GDC). Melalui penggemblengan tenaga dengan rangkaian lapan GDC BT yang lain di seluruh dunia, ia akan mencipta inovasi dan memajukan penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi.

"Yang kedua ialah Pusat Perkhidmatan Berkongsi Penyerahan Kontrak (CDSS). Pusat yang membentuk sebahagian daripada rangkaian global BT dalam penyediaan kontrak komersial dan pengurusan projek itu akan menyokong kontrak perkhidmatan teknologi maklumat rangkaian terurus dengan pelanggan-pelanggan multinasional yang besar," jelasnya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Pemikiran Syarikat Kini Beralih Mengoptimumkan Perniagaan Masing-masing

5 Jamadilawal 1434

KUALA LUMPUR, 15 Mac, 2013- Syarikat-syarikat kini mengalihkan pemikiran masing-masing daripada menunggu perubahan ekonomi global kepada memberi tumpuan mengoptimumkan perniagaan masing-masing melalui pemotongan kos dan meningkatkan kecekapan, kata Ernst and Young.

Dalam satu kenyataan Jumaat, Ernst and Young berkata rumusan itu adalah berasaskan dapatan laporannya baru-baru ini - "Business Pulse: Exploring the duel perspectives of the top 10 risks and opportunities in 2013."

Laporan itu, yang berasaskan kaji selidik 2012 mengenai eksekutif kanan dari 641 syarikat di 21 negara, adalah yang terbaharu di dalam satu siri pada 2008 bagi menjejaki risiko dan peluang yang dihadapi perniagaan di seluruh dunia.

Ernst and Young berkata tekanan penetapan harga adalah risiko terbesar yang ditonjolkan oleh syarikat-syarikat pada 2013, di mana eksekutif kanan menerima hakikat bahawa mereka perlu mencari cara-cara terbaharu untuk mencapai keuntungan sebagai respons kepada pasaran maju yang mengecil.

"Ini dilihat kepada syarikat-syarikat yang beralih kepada inovasi dan pasaran yang pantas berkembang bagi mewujudkan peluang baharu," katanya.

Rakan Ernst and Young Malaysia dan Peneraju Risiko Asean Philip Rao berkata: "Sedang syarikat-syarikat di pasaran maju terus menunjukkan prestasi yang rendah di tengah-tengah masalah kemelesetan dan kedaulatan, dunia kini mengalih perhatian kepada pasaran baharu bagi mendapatkan peluang pengembangan."

"Negara-negara yang merupakan pasaran yang berkembang pesat, termasuk Malaysia, menjadi fokus pelaburan dan pertumbuhan kerana banyak badan dunia mengkaji semula strategi perniagaan masing-masing."

"Sedang peralihan itu merupakan galakan terhadap ekonomi negara, syarikat-syarikat Malaysia perlu awas pada perkembangan itu dan menimbangkan risiko serta peluang yang memberi kesan kepada perniagaan mereka sendiri di dalam pasaran yang kompetitif, yang berasaskan dapatan laporan itu."

Maklumat lanjut: BERNAMA

Selasa, 12 Mac 2013

YAHOO Malaysia Sasar Pertumbuhan Dua Digit Tahun 2013

29 Rabiulakhir 1434

PETALING JAYA, 12 Mac, 2013- Yahoo Malaysia menyasarkan pertumbuhan dua digit tahun ini, dipacu oleh peningkatan jumlah pengguna dan pengiklanan digital.

Duta Negara dan Pengarah Jualannya Jon Tjin Kee berkata Yahoo mempunyai 8.6 juta pengguna Malaysia ketika ini.

"Malaysia merupakan pasaran utama di Asia Tenggara, dan kami yakin akan pertumbuhan dua angka dalam jumlah pengguna dan pengiklan digital tahun ini," katanya pada taklimat media, Selasa.

Beliau berkata syarikat itu meletakkan segmen mudah alih sebagai keutamaan dalam menarik lebih ramai pengguna dan pengiklan memandangkan kira-kira 30 hingga 40 peratus pengguna Yahoo Malaysia merupakan pengguna mudah alih.

"Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai bilangan pemilik telefon mudah alih tertinggi di rantau ini, sebanyak 27 peratus, dan oleh itu kami berharap dapat menguasai pasaran bagi memacu pertumbuhan," katanya.

Jon berkata Yahoo Malaysia mahu menjadikan mudah alih sebagai bahagian besar Yahoo, bagi memastikan pengguna dapat terus berhubung hanya menerusi sentuhan jari.

"Ini diperkukuh menerusi pelancaran Yahoo Mail pada iPhone Android dan Windows selain reka bentuk semula lengkap aplikasi Flickr iPhone pada iPhone," katanya.

Jon berkata kumpulan itu akan terus meneroka perbelanjaan pasaran digital di Malaysia di mana ia menjangkakan melebihi RM450 juta tahun lepas.

"Peluang ini dijangka memacu pertumbuhan perniagaan Yahoo Malaysia tahun ini," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Isnin, 11 Mac 2013

Kebanyakan Pekerja Kecewa Dengan Bonus

29 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 11 Mac, 2013- Lebih daripada 49 peratus pekerja Malaysia yang menerima bonus menyatakan mereka tidak berpuas hati dengan bayaran bonus masing-masing, demikian menurut kaji selidik tahunan JobStreet.com.

Dalam satu kenyataan Isnin, syarikat pengambilan pekerja online, JobStreet, berkata kebanyakan industri membayar purata bonus 1.5 bulan.

"Bonus tertinggi diterima, yang merupakan enam bulan atau lebih, dibayar oleh syarikat di dalam sektor kewangan dan perbankan, telekomunikasi dan peruncitan," katanya.

JobStreet berkata 40 peratus daripada mereka yang dikaji selidik berkata bonus masing-masing telah meningkat berbanding dengan tahun lepas dan 36 peratus berkata bonus masing-masing kekal sama manakala 25 peratus melaporkan bonus yang lebih rendah.

Katanya 36 peratus daripada responden berkata mereka akan berhenti kerja dari syarikat berkenaan kerana bonus masing-masing lebih rendah daripada jangkaan dan 25 peratus akan berbuat demikian walau apa pun faktor bonusnya.

JobStreet.com berkata bonus dan insentif lain, seperti kenaikan gaji dan manfaat syarikat, kekal menjadi faktor utama mengekalkan pekerja.

Maklumat lanjut : BERNAMA

Sabtu, 9 Mac 2013

Biofutures International Beli Firma Biofuel Malaysia

27 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 9 Mac , 2013 -Biofutures International Plc telah berjaya mengumpul 32.5 juta pound sterling (1 Pound = RM4.68) semalam melalui tawaran saham sempena cadangannya mengambil alih Platinum NanoChem Sdn Bhd, sebuah syarikat pakar biofuel.

Ini adalah untuk menyediakan dana yang mencukupi bagi kumpulan yang diperbesarkan itu melaksanakan strategi peluasannya dan bagi tujuan modal kerja.

"Cadangan pengambilalihan Platinum Nanochem dan kejayaan mengumpul dana ini memberikan kami peluang besar untuk meningkatkan nilai pemegang saham," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Biofutures, Joe Wong, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Biofutures International akan diberikan nama baharu, Graphene NanoChem Plc, selepas selesainya urusan pengambilalihan dan penawaran saham itu.

Platinum NanoChem ialah sebuah syarikat nanoteknologi global yang model perniagaan penjana pendapatannya yang kukuh itu merangkumi reka bentuk, perumusan, pembuatan dan pemasaran satu rangkaian kimia dan bahan khusus yang disokong oleh IP (harta intelek), termasuk grafin dari sisa bahan mentah.

Graphene NanoChem akan diterajui oleh Datuk Jespal Deol, CEO cadangan yang akan disokong oleh satu pasukan pengurusan yang kuat dan berpengalaman serta kakitangan yang mempunyai kepakaran teknikal dan perniagaan, serta rekod pencapaian dalam sektor-sektor industri berkaitan.

Jespal, kini ialah CEO Platinum NanoChem.

"Dengan pengalaman dan kepakaran terbukti pasukan pengurusan yang dicadangkan dan dana yang dikumpul untuk menyokong strategi (yang telah dikenal pasti), kami menghadapi masa depan dengan penuh keyakinan," tegas beliau.

Biofutures International, yang ditubuhkan di England pada Februari 2006, ialah syarikat induk Zurex Corp Sdn Bhd, sebuah syarikat yang ditubuhkan di Malaysia.

Maklumat lanjut : BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...