top_rightads

Sabtu, 28 September 2013

Brahim's Airline Berharap Dapat Jadi Katerer Bagi Malindo Air Tahun Depan

22 Zulkaedah 1434

PUTRAJAYA, 27 Sept, 2013- Brahim's Airline Catering Sdn Bhd menyasar menjadi katerer dalam penerbangan bagi Malindo Air apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) siap tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Ainul Hasnizam Abu Hassan.

Beliau berkata Brahim's Airline Catering yakin ia dapat membekalkan hidangan makanan bagi syarikat penerbangan itu memandangkan pengalamannya selama 30 tahun dalam industri katering.

"Kami sedang berbincang dengan mereka dan berpeluang baik untuk memperoleh kontrak tersebut," katanya kepada pemberita selepas pembentangan hidangan makanan Jepun halal yang disediakan oleh Brahim's Airline Catering bagi Malaysia Airlines.

Ainul berkata syarikat itu ketika ini menyediakan khidmat katering bagi 14 penerbangan harian AirAsia X.

"Dengan model perniagaan ini, saya rasa kami boleh menawarkan tawaran yang baik bagi Malindo.

"Brahim's Airlines Catering mempunyai kapasiti mencukupi untuk menyediakan kepada keperluan Malindo kerana dapur kami boleh menyediakan kira-kira 55,000 hidangan makanan sehari. Kami sekarang menyediakan 50,000 hidangan makanan sehari, jadi kami mempunyai lebihan kapasiti," katanya.

Mengenai hidangan makanan Jepun halal, beliau berkata makanan itu akan disajikan dalam penerbangan MAS dari Kuala Lumpur ke Narita dan Osaka pada setengah tahun kedua tahun depan.

"Kini halal merupakan kata kunci dan perkara sangat penting bagi kami terutamanya apabila permintaan bagi makanan halal semakin meningkat.

Berita lanjut: BERNAMA

Edaran Vita Cat Rancang Keluarkan Vaksin Halal Dalam Tempoh Dua Tahun

22 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 28 Sept, 2013- Edaran Vita Cat Sdn Bhd, pengusaha tunggal makanan kucing halal di Malaysia, bakal mengeluarkan vaksin haiwan peliharaan dan ternakan yang halal untuk pasaran tempatan, dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengerusinya Datuk Halim Baba berkata syarikat bekerjasama dengan Universiti Kasetsart, Thailand dan Kementerian Pertanian Thailand, untuk mengeluarkan vaksin ini.

"Kami merancang untuk mengeluarkannya pada tahun 2015 atas jenama Vita Vet pada harga yang lebih murah dari yang ada di pasaran sekarang," kata beliau kepada Bernama.

Halim berkata kebanyakan vaksin yang ada di pasaran sekarang ini dibawa masuk dari Thailand, Taiwan dan Itali dan biasanya datang dalam kuantiti yang besar dan mahal.

Sementara itu, syarikat juga merancang untuk mengeluarkan lima produk baharu menjelang hujung tahun ini.

Antara produk-produk yang akan dikeluarkan ialah makanan kucing berperisa ayam, kumbahan kucing menggunakan kenaf, makanan basah daging ayam dan kambing biri-biri serta semburan kucing tanpa-alahan.

Vita Cat, satu-satunya syarikat tempatan yang menghasilkan makanan halal kucing di Malaysia merupakan sebuah perusahaan kecil dan sederhana yang ditubuhkan pada 2007 dan memulakan pengeluaran dua tahun selepas itu.

Sumber berita : BERNAMA

Konsep Wassatiyah Boleh Selesaikan Banyak Masalah Dunia

22 Zulkaedah 1434

NEW YORK, 27 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak percaya banyak masalah dunia hari ini boleh diselesaikan jika masyarakat mengamalkan konsep kesederhanaan atau wassatiyah.

Beliau berkata jika masyarakat dan kerajaan menggunakan kesederhanaan dalam tindak-tanduk dan dasar mereka, maka negara akan mempunyai masyarakat yang lebih adil, saksama dan inklusif.

Amalan wassatiyah, katanya, berasaskan kepada prinsip tertentu dan nilai-nilai murni, seperti keadilan, kesaksamaan, memilih untuk berdialog daripada konfrontasi, berunding daripada berkonflik.

"Dan jika kita memilih pendekatan wassatiyah dan menolak nazisme atau militan, dan pemikiran yang ekstremis, akan ada peluang kita boleh berusaha ke arah menjadikan dunia ini sebuah dunia yang aman," katanya dalam syarahan 'The New Meetings, Moderation: The New Modernity' (Pertemuan Baharu, Kesederhanaan: Kemodenan Baharu), yang ditaja bersama Council on Foreign Relations (CFR)'s Religion dan Foreign Policy Initiative, di Peter G. Peterson Hall, The Harold Pratt House, New York.

Sesi itu dihoskan Fareed Zakaria dari CNN, Editor Tugas-tugas Khas Majalah TIME dan anggota Lembaga Pengarah CFR.

Anggota CFR di Washington DC, menyertai mesyuarat ini melalui persidangan video dan disiarkan secara langsung melalui laman web CFR (www.cfr.org).

Najib berkata apa yang dimahukan rakyat Malaysia dan negara lain di dunia ialah keamanan, kemakmuran dan keharmonian yang boleh dicapai jika masyarakat mengamalkan keseluruhan konsep wassatiyah.

"Kita tidak pinggirkan sesiapa...jangan biarkan suara-suara melampau, perkauman dan ketaksuban menenggelamkan suara kita," katanya.

Perdana menteri berkata beliau menggalakkan Pergerakan Wassatiyah Global melalui ucapannya di seluruh dunia kerana beliau percaya bahawa masalah dalam dunia hari ini bukanlah antara penganut Kristian, umat Islam dan Yahudi tetapi sebenarnya ialah antara golongan ekstremis dan sederhana.

Najib berkata beliau mencari pakatan kerjasama dengan pihak yang mendukung kepercayaan dan prinsip serupa termasuk dari Amerika Syarikat, untuk menggalakkan dan mengukuhkan usaha ini.

Ditanya pendapatnya tentang pengebom nekad Islam semasa sesi soal jawab itu, Najib berkata beliau telah memperkatakan mengenai tindakan itu dalam ceramahnya di Universiti Oxford, United Kingdom sebelum ini bahawa Islam menentang perbuatan sedemikian.

"Islam mengajar umatnya jangan membunuh mereka yang tidak berdosa, walaupun dalam peperangan. Perbuatan itu dilarang Islam dan ia sebenarnya dilakukan oleh orang yang 'merampas' Islam dengan objektif politik mereka yang sempit dan mementingkan diri," katanya.

Oleh itu beliau menggesa media, terutama di Barat supaya tidak menggelar mereka ini sebagai pengganas Islam atau kumpulan jihad kerana mereka hanyalah puak pelampau tanpa mengira kepercayaan agama mereka.

"Ada bahayanya dalam mengapi-apikan Islam-fobia di Barat. Adalah lebih baik jika media di Barat lebih arif mengenai perkara ini...mereka hanyalah pengganas daripada kumpulan tertentu," katanya.

Diminta mengulas peristiwa pengemboman 9/11 World Trade Centre di New York pada 2001, Najib berkata ia merupakan kombinasi kepada beberapa faktor.

Katanya Islam tidak pernah dikaitkan dengan keganasan dan berdasarkan fakta sejarah, penduduk di Asia Tenggara memeluk Islam dan meninggalkan agama Hindu secara aman.

 Sumber berita-BERNAMA

Rabu, 25 September 2013

MyCC Jangka Terima Maklum Balas Dtentang Undang-undang Anti Persaingan Tidak Lama Lagi

20 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 25 Sept, 2013- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menjangka akan menerima maklum balas daripada AirAsia Bhd dan Malaysia Airlines (MAS) tidak lama lagi selepas didakwa melanggar undang-undang persaingan.

Suruhanjaya itu belum menerima apa-apa maklum balas daripada kedua-dua syarikat penerbangan selepas masing-masing didapati melanggar larangan dalam Akta Persaingan 2010, kata Pengerusi MyCC Tan Sri Siti Norma Yaakob.

"Mereka masih memikirkan tentang kesan keputusan itu, tetapi kami mendapat laporan mereka tidak lama lagi," katanya kepada pemberita pada Persidangan Undang-Undang Persaingan MyCC di sini hari ini.

Pada 6 Sept, MyCC memutuskan bahawa berikutan pelanggaran Seksyen 4 (2) (b) Akta, suruhanjaya itu akan mengenakan penalti kewangan RM10 juta masing-masing, ke atas AirAsia dan MAS.

MyCC telah memberi syarikat-syarikat penerbangan itu 30 hari untuk hari untuk berhujah, sama ada secara lisan atau bertulis, mengapa mereka tidak boleh dikenakan denda RM10 juta setiap satu.

Mengenai saranan AirAsia agar MyCC menyiasat entiti yang bersifat monopoli, seperti Malaysia Airports Holdings Bhd, Siti Norma berkata: "Sebenarnya, kami akan lambat laun melihat kepada MAHB."

Sementara itu, beliau berkata, jawatan kuasa itu menunggu maklum balas daripada Persatuan Pemilik Lori Pan-Malaysia mengenai rancangannya untuk menaikkan caj pengangkutan sebanyak 15 peratus.

Berita lanjut: BERNAMA

Cagamas Terbit Kertas Komersial Islam RM500 Juta

20 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 25 Sept, 2013- Perbadanan gadai janji nasional, Cagamas Bhd, mengumumkan penerbitan Kertas Komersial Islam (ICP) tiga bulan bernilai RM500 juta, menjadikan jumlah terbitannya bagi tahun ini hampir RM3 bilion, lapan peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas.

ICP tersebut akan diterbitkan di bawah struktur Murabahah Komoditi Islam dan hasil daripada terbitan itu akan digunakan bagi membiayai pembelian pembiayaan Islam daripada sistem kewangan, kata Cagamas dalam satu kenyataan.

Kertas komersial itu yang akan ditebus pada nilai nominal penuhnya selepas kematangan, merupakan obligasi tidak bercagar syarikat, berkedudukan sama rata sesama sendiri dan dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada lain syarikat.

"Walaupun sentimen pasaran masih berhati-hati dengan hasil daripada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada September, ICP kami mendapat permintaan kukuh daripada pelabur apabila ia dua kali terlebih langgan," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Chung Chee Leong.

Keyakinan pelabur terhadap profil kredit Cagamas terbukti apabila kertas itu dilanggan sepenuhnya pada harga sangat kompetitif meskipun keadaan pasaran tidak menentu, katanya.

Cagamas merupakan penerbit terbesar sekuriti hutang ditaraf AAA di Malaysia.

Sumber berita : BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...