top_rightads

Sabtu, 14 September 2013

Kerajaan Umum Strategi Baharu Memperkasa Ekonomi Bumiputera Berpayungkan MEB

9 Zulkaedah 1434

SHAH ALAM, 14 Sept, 2013- Kerajaan Sabtu mengumumkan langkah dan strategi baharu bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera, berpayungkan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB), yang akan ditubuhkan tidak lama lagi dan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata MEB akan menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dalam melaksanakan lima strategi utama sebagai kelangsungan implementasi agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Berucap pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di sini, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata antara fokus pelaksanaan ialah pemantapan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat serta memperkukuh pemilikan aset.

"Kerajaan mendengar luahan rasa yang dilontarkan oleh masyarakat Bumiputera berhubung tahap penyertaan dalam program pembangunan sosioekonomi."

Antara langkah utama dalam strategi itu ialah penetapan sasaran ke atas penyertaan Bumiputera, termasuk perolehan kepada vendor oleh semua Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Kata Najib maklumat tersebut wajib dimasukkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama atau KPI mereka.

Beliau berkata semua kementerian juga akan mewujudkan Unit Pembangunan Bumiputera (UPB) yang bertanggungjawab merangka cadangan dan melaksana inisiatif agenda Bumiputera.

Bagi memantapkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat pula, Skim Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) akan dilancarkan oleh Permodalan Nasional Bhd dengan suntikan sebanyak 10 bilion unit saham.

Ekuinas pula akan diberi tanggungjawab untuk mengambil alih peranan sebagai peneraju program Skim Jejak Jaya Bumiputera.

Program tersebut akan ditransformasikan melalui ekuiti dan kepakaran pengurusan bagi membimbing syarikat-syarikat Bumiputera yang di senarai di Bursa Malaysia.

"Bagi memastikan semua agenda pembangunan sosioekonomi Bumiputera dapat dilaksanakan secara efektif, sistem penyampaian juga akan diperkemas dan diperketat untuk mewujudkan ekosistem yang cekap, komprehensif dan konstruktif," kata Najib.

Najib berkata pelbagai langkah juga telah digariskan bagi menangani Bumiputera yang masih lagi ketinggalan dalam pemilikan aset bukan kewangan seperti rumah kediaman, premis industri dan kompleks komersil.

Untuk itu, Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) serta Syarikat Perumahan Negara Berhad dengan kerjasama Kerajaan Negeri akan memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik kepada Bumiputera di seluruh negara.

Peranan UDA Corporation juga akan diperkukuh untuk membantu membangunkan hartanah, termasuk rumah kediaman, kompleks dan ruang perniagaan, bangunan industri dan perdagangan di kawasan bandar, kata Najib.

Beliau berkata GLC dan GLIC yang terlibat dalam hartanah akan turut memberi penekanan kepada pembangunan hartanah Bumiputera, terutama perumahan, rumah kedai dan premis komersial.

Sementara itu, bagi mengoptimumkan nilai dan manfaat aset bukan kewangan seperti hartanah untuk Bumiputera Islam, Yayasan Wakaf Malaysia akan ditukar menjadi entiti Wakaf korporat.

Peranan institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Bhd, Majlis Amanah Rakyat dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd akan diperkukuh bagi membangunkan atau memperoleh hartanah komersil dan industri, terutama di lokasi strategik di seluruh negara.

Sumber berita- BERNAMA

Ekonomi Bumiputera Diperkasa, Limpahan Faedah Dinikmati Semua

8 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 13 Sept, 2013- Ekonomi 67 peratus penduduk negara ini yang terdiri daripada Bumiputera, perlu terus diperkasakan memandangkan pengukuhan golongan itu akan mewujudkan limpahan manfaat yang boleh menguntungkan semua.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengumumkan dasar-dasar bagi memperkasa ekonomi Bumiputera seiring usaha merealisasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dalam tempoh kurang tujuh tahun, esok.

Najib yang juga Menteri Kewangan, dijangka menyentuh aspek pembangunan modal insan, pemilikan ekuiti dan hartanah oleh Bumiputera.

Intipati penting dalam memastikan kejayaan pemerkasaan kali ini ialah pelaksanaan berkesan di setiap peringkat.

Sebelum ini, telah banyak dasar-dasar yang baik diperkenalkan, namun pelaksanaan yang lemah dari sudut bekalan rangkaian telah merencatkan pengukuhan itu.

Oleh itu komitmen jitu dituntut daripada setiap pihak, bukan sahaja di peringkat persekutuan malah di peringkat negeri, bagi melahirkan usahawan Bumiputera tulen.

Komitmen setiap agensi dan institusi yang terlibat dalam usaha memperkasakan ekonomi Bumiputera juga harus dituntut bagi memastikan usaha mereka lebih efektif.

Dasar-dasar pemerkasaan ini harus dilihat dalam konteks yang lebih luas dan positif kerana ia diberikan tanpa menarik bantuan terdahulu yang dinikmati oleh setiap lapisan bangsa di negara ini.

Berita lanjut: BERNAMA

Geran Dan Peluang Untuk Usahawan Antara Inisiatif Perkasa Ekonomi Bumiputera

8 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 13 Sept, 2013- Pelbagai bantuan dari segi geran dan peluang untuk usahawan muda dan usahawan Bumiputera bagi menembusi pasaran luar adalah antara inisiatif bagi memperkasa ekonomi Bumiputera yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata inisiatif berkenaan bagi mengupayakan golongan usahawan Bumiputera yang masih lagi jauh ketinggalan.

Beliau berkata kaum Bumiputera masih terkebelakang dari segi ekonomi, walaupun Malaysia telah mencapai kejayaan yang membanggakan.

Bagi menangani isu ini, beliau berkata, pelbagai insentif akan diumum Perdana Menteri untuk mengukuhkan kedudukan dan ekonomi Bumiputera secara keseluruhan.

"Dari segi jumlah (insentif) akan disentuh oleh Perdana Menteri esok, kita tunggu dan lihat," katanya kepada Bernama.

Najib yang juga Menteri Kewangan akan mengumumkan dasar bagi meningkatkan lagi penglibatan Bumiputera dalam ekonomi negara di Shah Alam.

Antara perkara yang bakal disentuh oleh Perdana Menteri ialah pembangunan modal insan, pemilikan ekuiti dan pemilikan tanah oleh Bumiputera.

"Banyak lagi aspek-aspek yang mana Bumiputera masih lagi ketinggalan berbanding kaum-kaum lain dan aspek-aspek tersebut akan diperkukuhkan dan diperkemaskan lagi," kata Mohd Irwan.

Semasa ditanya mengenai pembentangan Belanjawan 2014 pada Oktober ini, beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah dan pertengahan.

Berita lanjut: BERNAMA

Khamis, 12 September 2013

Senama Agro Gaharu Sedia Jadi Peneraju Industri Gaharu Di Malaysia, Dunia

7 Zulkaedah 1434

SEREMBAN, 12 Sept , 2013- Senama Agro Gaharu (M) Sdn Bhd (SAG), syarikat milik Bumiputera, bersedia menjadi peneraju dalam industri gaharu di Malaysia dan dunia.

Pengerusinya Datuk Mustafa Abdul Wahab berkata SAG yang beroperasi sejak tiga tahun lepas, mempunyai perancangan, strategi dan program pembangunan gerak kerja tersusun bagi memastikan industri gaharu berjaya, moden, dinamik dan kompetitif.

"Kami mahu terus menerajui proses transformasi dalam sektor penanaman dan pemprosesan gaharu secara terancang, bersepadu dan menyeluruh. Berikutan perkembangan industri gaharu di negara ini dan dunia, kami sedia mempelbagaikan usaha seperti menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing dalam menghasilkan produk hiliran dan seterusnya memasarkannya," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata SAG bergiat cergas dalam menjalankan pelbagai perkhidmatan berkaitan penanaman dan inokulasi pokok gaharu.

Katanya SAG juga bersedia memberi khidmat kepakaran kepada pengusaha yang berminat dengan tanaman gaharu menerusi program melahirkan lebih ramai usahawan tani di negara ini.

"SAG kini giat menjalankan kegiatan memberi khidmat nasihat kepada pengusaha mengenai penyediaan kawasan tanaman, pembekalan benih, penjagaan tanaman, khidmat inokulasi, pengeluaran hasil dan seterusnya pemasaran. Selain itu, kita juga menganjurkan kursus bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai gaharu serta memasarkan produk berasaskan gaharu.

"Tenaga kerja kami terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam mengurus hal berkaitan gaharu, merangkumi aktiviti huluan (penanaman dan penghasilan gaharu) dan hiliran (pemprosesan produk gaharu)," katanya.

Mustafa berkata sehingga kini hampir 100,000 pokok karas klon Vietnam ditanam di tanah milik 200 peserta di Negeri Sembilan.

"Selain itu, syarikat kami juga menjalin usaha sama dengan syarikat negara pengeluar dan pengguna gaharu seperti Kemboja, Vietnam, China, Singapura, Thailand, Taiwan, Indonesia, dan negara Timur Tengah, termasuk United Arab Emirates," katanya.

Katanya industri gaharu berpotensi besar dalam menjana pendapatan pengusaha dan ekonomi negara.

Mengenai masa depan, beliau berkata SAG merancang membina kilang pemprosesan pati minyak gaharu dan pelbagai jenis produk berasaskan gaharu bernilai RM3 juta di Labu dekat sini.

Beliau berharap Negeri Sembilan akan muncul sebagai negeri yang sinonim dengan industri gaharu di negara ini.

Berita lanjut : BERNAMA

Bumiputera Perlukan Lebih Akses Kepada Pembiayaan Untuk Berkembang Maju

7 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 12 Sept, 2013- Bumiputera memerlukan lebih akses kepada pembiayaan untuk memudahkan mereka mengembangkan perniagaan, kata pemilik syarikat perunding perhubungan awam.

Dengan akses yang lebih baik kepada pembiayaan, syarikat Bumiputera boleh berkembang dan seterusnya meningkatkan penyertaan mereka dalam ekonomi, kata Datuk Mahadzir Lokman kepada Bernama.

"Usaha untuk meningkatkan penyertaan Bumi dalam ekonomi telah lama dilaksanakan dan sebagai seorang Bumi, saya berharap sekali ini, perlaksanaannya berkesan sepenuhnya agar semua Bumi boleh mendapat manfaatnya," kata beliau.

Mahadzir ditemui di luar acara majlis penutup Forum Dasar Global (GPF) Perikatan bagi Rangkuman Kewangan (AFI) 2013 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan, dijangka mengumumkan dasar untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera di dalam sektor ekonomi negara, terutamanya dalam ekuiti, pemilikan hartanah dan modal insan Sabtu ini.

Mahadzir berkata Bumiputera seharusnya bersyukur dengan dasar yang akan diumumkan oleh kerajaan hujung minggu ini.

"Insentif yang diberikan kerajaan khusus untuk kita, bukan Bumiputera tidak akan dapat," kata beliau.

Beliau berkata objektif dasar-dasar ini boleh dicapai sekiranya semua pihak berganding bahu, minda dan tenaga serta belajar dari bukan Bumi yang boleh lagi berjaya walaupun tanpa banyak bantuan kerajaan.

Berita lanjut: BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...