Bursa Malaysia

top_rightads

Thursday, September 12, 2013

Pendapatan Suku Kedua Celcom Axiata Melepasi RM2 Bilion Untuk Pertama Kali

6 Zulkaedah 1434


KUALA LUMPUR, 11 Sept, 2013- Pendapatan suku kedua Celcom Axiata Bhd telah melepasi RM2 bilion untuk pertama kalinya kepada RM2.01 bilion, daripada RM1.98 bilion dalam suku pertama 2013, sekali gus menyaksikan sejumlah RM3.99 bilion untuk setakat tahun ini dan mewakili peningkatan 4.3 peratus tahun-atas-tahun.

Pendapatan sebelum cukai, faedah susut nilai, pelunasan dan amotisasi (EBITDA) tempoh bersukunya turut menambah kepada RM900 juta dengan membawa jumlah bagi separuh pertama 2013 ialah RM1.78 bilion.

Penyedia telekomunikasi itu telah mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM577 juta, meningkat 5.1 peratus daripada suku sebelumnya iaitu RM549 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly berkata keputusan itu diperkukuhkan lagi oleh inisiatif berbelanja secara bijak, pengurusan aset yang lebih baik, program penambahbaikan produktiviti serta inisiatif bersegmen dan pemasaran kecekapan kos.

"Fokus Celcom terhadap penyampaian nilai tinggi kepada pengguna bersegmen, meningkatkan kualiti rangkaian dan mempelbagaikan tawaran produk dan perkhidmatan telah sekali lagi terbukti dalam pertumbuhan pendapatan suku ke-29 kami.

"Inisiatif penambahbaikan produktiviti yang mantap, alat pemasaran yang lebih cekap telah menyaksikan pendapatan bersuku yang menggalakkan dan margin pula seiring dengan sasaran yang telah ditetapkan oleh Axiata Group Bhd," kata beliau dalam taklimat media untuk mengumumkan keputusan suku kedua 2013 syarikat di sini Rabu.

Mohammed Shazalli berkata dalam bergerak ke hadapan, Celcom akan terus memberi tumpuan kepada perkhidmatan digital menerusi penerokaan baharu ke dalam hiburan peribadi mudah alih melalui anak-anak syarikat baharu Escape Axiata Bhd, berserta dengan portal-portal e-dagang baharu -- Bachabooku, Buzzaar dan The Crescent.

Dilaporkan penyedia telekomunikasi itu berhasrat mendapatkan satu juta pelanggan menerusi tiga portal perkhidmatan digitalnya menjelang akhir 2014.

Bachabooku ialah portal e-buku pertama Celcom, menawarkan lebih 700 terbitan elektronik, termasuk buku dan majalah dari penulis dan penerbit tempatan.

The Crescent pula ialah pusat gaya hidup sehenti Islam yang menawarkan hiburan dan maklumat serta perkhidmatan gaya hidup sementara Buzzaar ialah pasaran dalam talian yang memudahkan urus niaga produk khusus oleh usahawan tempatan untuk pasaran di dalam negara.

 Rancangan penggunaan Evolusi Jangka Panjang 4G Celcom pada masa ini berjalan lancar dan berhasrat mencapai 30 peratus daripada populasi menjelang suku kedua 2014, meliputi 33 wilayah strategik seluruh negara termasuk Lembah Klang, Johor Baharu dan Pulau Pinang.

Berita lanjut: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...