Bursa Malaysia

top_rightads

Saturday, September 14, 2013

Agenda Perkasa Bumiputera Tidak Bercanggah Dengan Dasar Transformasi Negara

9 Zulkaedah 1434

SHAH ALAM, 14 Sept, 2013- Agenda memperkasa Bumiputera dalam ekonomi negara tidak bercanggah dengan Dasar Transformasi Negara memandangkan agenda tersebut juga bertujuan memastikan tiada golongan masyarakat ketinggalan dalam pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata agenda yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu merupakan satu lagi usaha untuk memperkukuh kedudukan Bumiputera dalam ekonomi negara.

"Golongan Bumiputera adalah golongan majoriti yang merangkumi dua pertiga daripada jumlah penduduk Malaysia. Kita perlu pastikan mereka juga tidak ketinggalan...," katanya kepada Bernama pada majlis pelancaran agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di sini.

Antara inisiatif yang diumumkan Najib hari ini ialah Petunjuk Prestasi Utama kepada Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk perolehan yang diluluskan kepada vendor.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan mengenai penubuhan Unit Kerjasama Awam Swasta untuk melaksanakan inisiatif dalam mengenal pasti perkhidmatan Kerajaan yang berdaya maju untuk diswastakan kepada Bumiputera.

"Kita akan perincikan inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan pastikan apa juga hasrat yang disebutkan tadi, kita laksanakan," kata Wahid.

Sementara itu, Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata Skim Jejak Jaya Bumiputera kali ini akan memberi fokus membina kapasiti syarikat-syarikat Bumiputera untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

"Kami akan melihat cara untuk memperkasa dan memperbanyak lagi syarikat-syarikat Bumiputera yang ingin disenaraikan di Bursa Malaysia," katanya.

Ekuinas diberi tanggungjawab untuk mengambil alih peranan sebagai peneraju program Skim Jejak Jaya Bumiputera.

Skim tersebut diselia oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Program itu akan ditransformasikan melalui ekuiti dan kepakaran pengurusan, bagi membimbing syarikat-syarikat Bumiputera supaya dapat disenaraikan di Bursa Malaysia.

Menurut maklumat yang diperoleh dari laman web Teraju, setakat 10 Jan 2013, tujuh syarikat berjaya di senarai di Bursa Malaysia.

Sumber- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...