Bursa Malaysia

top_rightads

Monday, August 29, 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1432 Hijrah Daripada MyIktisad

MyIktisad ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat mereka yang menyambutnya di Malaysia dan seluruh dunia , dengan ucapan  Maaf Zahir Batin. Kepada pengikut atau pelawat yang telah membuat ucapan di ruangan-ruangan komen dan "ShoutBox"di laman ini, penulis ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada anda semua. Untuk membalas ucapan menerusi kaedah yang sama buat masa ini adalah agak sukar kerana akses internet agak perlahan ketika penulis berada di luar bandar buat masa kini.

Sekian, salam hormat daripada penulis, insyallah kita akan berjumpa lagi.

Terima kasih.

Sunday, August 28, 2011

BIMB Catat Prestasi Yang Mantap

Utusan Malaysia telah melaporkan pada 25 Ogos 20 11 yang lalu bahawa  BIMB Holdings Bhd. (BIMB) mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM114.2 juta bagi enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2011 lalu peningkatan sebanyak RM54.3 juta atau 91 peratus berbanding untuk tempoh sama tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum zakat dan cukai bagi enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2011 berjumlah RM289.2 juta, pertumbuhan 64 peratus atau kenaikan RM113.2 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Johan Abdullah, pencapaian baik tersebut disumbangkan melalui operasi anak syarikat iaitu Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) dan Syarikat Takaful Malaysia Bhd. (Takaful Malaysia).

"Pendapatan kumpulan dipacu daripada keuntungan segmen pembiayaan, pendapatan bukan dana yang tinggi, pertambahan deposit dan aset Bank Islam serta operasi Takaful Malaysia," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Bank Islam berjaya mencatatkan keuntungan sebelum zakat
 dan cukai berjumlah RM240.9 juta iaitu kenaikan sebanyak RM86.7 juta , atau 56.2 peratus, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pulangan atas Ekuiti bank (ROE) berada pada 18.2 peratus bagi Jun 2011 berbanding Disember 2010 iaitu 16.5 peratus. Manakala jumlah deposit daripada pelanggan sehingga enam bulan pertama 2011 berjumlah RM24 bilion.
Sementara itu, Takaful Malaysia mencatatkan perolehan operasi sebanyak RM636.2 juta yang terdiri daripada pendapatan kasar berjumlah RM532.5 juta dan pulangan pelaburan sebanyak RM103.7 juta.
Pendapatan daripada Takaful Keluarga berjumlah RM50.9 juta manakala daripada Takaful Am berjumlah RM41 juta.

Keuntungan sebelum zakat dan cukai Takaful Malaysia bagi enam bulan pertama 2011 berjumlah RM49.9 juta.

Sumber-Utusan Malaysia

Thursday, August 25, 2011

TM Catat Prestasi Memberansangkan Untuk Suku Tahun Kedua 2011

Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini (24 Ogos 2011) mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku kedua tahun 2011 berakhir 30 Jun 2011.

TM rata-ratanya mencatatkan peningkatan positif dalam keputusan perniagaannya bagi suku tahun kedua 2011 dan menunjukkan perkembangan mantap dalam menjadi pusat Pertukaran Maklumat (Information Exchange) di Malaysia.

Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM2,233.6 juta bagi suku kedua 2011 berakhir 30 Jun 2011, meningkat sebanyak 3.8% berbanding RM2,150.9 juta, disumbangkan terutamanya oleh Internet dan multimedia, perkhidmatan data dan perkhidmatan berkaitan telekomunikasi yang lain.

Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi (EBITDA) bagi 2Q2011 adalah lebih tinggi pada RM746.9 juta, naik 8.8% daripada RM686.2 juta yang dicatatkan pada 2Q2010. EBITDA dinormalisasi meningkat 10.4% kepada RM768.0 juta daripada RM695.5 juta pada 2Q2010. Margin EBITDA dinormalisasi meningkat 2.0 mata pada 33.9%, berbanding 31.9% pada 2Q2010.

Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) meningkat 2.3% kepada RM127.2 juta pada 2Q2011 daripada RM124.4 juta pada tempoh yang sama tahun lalu. Ini disumbangkan terutamanya oleh hasil yang lebih tinggi, dan kos pembiayaan yang lebih rendah. PATAMI dinormalisasi meningkat 20.8% daripada RM111.9 juta pada 2Q2010 kepada RM135.2 juta pada suku ini.

Hasil data meningkat 7.1% pada suku ini kepada RM455.0 juta berbanding RM424.9 juta pada suku yang sama tahun 2010 berikutan permintaan terhadap perkhidmatan lebar jalur yang lebih tinggi. Internet dan multimedia mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak 21.1% kepada RM487.9 juta pada suku tahun ini berikutan pertambahan jumlah pelanggan jalur lebar dan UniFi kepada 1.721 juta dan 109,019 masing-masing dalam suku ini daripada 1.541 juta dan 4,051 pada suku yang sama tahun 2010.

Hasil data meningkat 7.1% pada suku ini kepada RM455.0 juta berbanding RM424.9 juta pada suku yang sama tahun 2010 berikutan permintaan terhadap perkhidmatan lebar jalur yang lebih tinggi. Internet dan multimedia mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak 21.1% kepada RM487.9 juta pada suku tahun ini berikutan pertambahan jumlah pelanggan jalur lebar dan UniFi kepada 1.721 juta dan 109,019 masing-masing dalam suku ini daripada 1.541 juta dan 4,051 pada suku yang sama tahun 2010.


PRESTASI OPERASI POSITIF YANG BERTERUSAN

Perbandingan: Tahun Setakat Ini (Keputusan 1H2011 vs 1H2010)

Bagi setengah tahun pertama berakhir 30 Jun 2011, hasil Kumpulan meningkat 2.5% kepada RM4,381.8 juta berbanding RM4,275.8 juta pada 1H 2010 dengan sokongan daripada pertumbuhan berterusan permintaan perkhidmatan Internet dan data, yang meningkat sebanyak 16.9% dan 6.9% masing-masing. Hasil data meningkat 6.9% kepada RM879.6 juta berbanding RM822.6 juta tahun lalu dengan disumbangkan terutamanya oleh perkhidmatan IPVPN yang lebih tinggi. Hasil Internet bagi setengah tahun bertambah 16.9% daripada RM805.1 juta yang dicatatkan pada 1H2010 kepada RM941.3 juta berikutan pertumbuhan positif pada jumlah pelanggan jalur lebar.

EBITDA menokok 5.1% kepada RM1,477.8 juta daripada RM1,406.2 juta pada 1H2010 berikutan hasil operasi yang lebih tinggi. EBITDA dinormalisasi meningkat 5.3% kepada RM1,497.0 juta. Margin EBITDA dinormalisasi meningkat sebanyak 0.9 mata kepada 33.7% berbanding 32.8% pada 1H2010 disebabkan oleh peningkatan hasil operasi.

PATAMI dinormalisasi, tidak termasuk hasil tukaran wang asing, naik sebanyak 29.4% daripada RM199.0 juta pada 1H2010 kepada RM257.5 juta tahun ini.


MELANGKAH KE HADAPAN

TM kekal komited mengekalkan kedudukannya sebagai Peneraju Jalur Lebar di Malaysia dengan menumpukan kepada Streamyx dan UniFi sebagai produk jalur lebar utama dengan membawakan gaya hidup digital yang bersepadu dan dipertingkatkan kepada semua rakyat Malaysia di mana semua individu boleh memanfaatkan platform ini untuk berhubung, berkomunikasi dan berkolaborasi secara efektif; sambil memfokus kepada proses transformasinya untuk menjadi sebuah Syarikat Telekomunikasi Generasi Baru dan Pusat Pertukaran Maklumat. TM juga komited dalam meneruskan program peningkatan kualiti dalam usaha Syarikat memberikan pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan.

Mempunyai rekod sebagai rakan usahasama pilihan Kerajaan dalam memberikan perkhidmatan komunikasi, disertakan dengan liputan rangkaiannya yang meluas dan kemahiran kolektif, TM berkedudukan baik untuk menyokong agenda Kerajaan dalam memenuhi aspirasi Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk membawa perubahan kepada negara menerusi penglibatan kami dalam Projek Permulaan (EPP), terutamanya dalam bidang utama iaitu “Perkhidmatan Perniagaan” dan “Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur” (CCI).


Sumber-TM

Tuesday, August 23, 2011

Tarikh Melihat Anak Bulan Syawal 29 Ogos 2011

Bernama 23 Ogos 2011, telah melaporkan bahawa tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menentukan tarikh Hari Raya Aidilfitri bagi umat Islam di seluruh Malaysia ialah pada 29 Ogos 2011 ini bersamaan 29 Ramadhan1432 Hijrah.Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, tempat melihat anak bulan berkenaan akan dilakukan di tempat-tempat yang telah ditetapkan.

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Aidilfitri adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab, dan pengisytiharan tarikh permulaan puasa akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia melalui radio dan televisyen pada pada malam berkenaan.

Sumber-Bernama

Pengguna Asia Tenggara Terpengaruh Dengan Iklan Dalam Talian

Bernama pada 22 Ogos  2011 telah melaporkan bahawa  para pengguna di Asia Tenggara amat terpengaruh dengan iklan dalam talian, terutama jika kandungannya disasarkan secara khusus atau jika rakan-rakan mereka turut terlibat dengan produk atau jenama itu, kata syarikat maklumat global, Nielsen Holdings.

Hasil penemuan daripada kajian seluruh dunia mendedahkan yang hampir tiga suku atau 73 peratus daripada pengguna di rantau ini dipengaruhi oleh iklan laman sesawang standard di laman media sosial, kata Nielsen dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan Nielsen turut mendapati 69 peratus daripada pengguna Asia Tenggara mengikuti jenama atau syarikat yang disukai, lebih tinggi daripada purata global sebanyak 52 peratus.

"Selain daripada itu, media penjanaan pengguna (pendapat pengguna yang dihantar secara dalam talian) kini adalah bentuk yang paling dipercayai media di kalangan pengguna digital Asia Tenggara.
"Secara keseluruhan, 54 peratus pendapat pengguna dihantar secara dalam talian," kata Nielsen.
Syarikat menambah para pengguna laman perangkaian sosial di Asia Tenggara kini kian beralih ke platform perangkaian sosial bagi mendapatkan nasihat atau saranan, mendapatkan diskauan ataupun tawaran khas. - BERNAMA

Sesungguhnya berita ini telah menunjukkan prospek yang baik dalam jangka masa panjang bagi pemilik-pemilik laman web di Asia . Peluang ini seharusnya perlu direbut oleh pelayar-pelayar di alam maya bagi meningkatkan kualiti media yang mereka miliki dan seterusnya boleh memberikan nilai kepada pemilik lama-laman web dalam jangka masa yang panjang.

Monday, August 22, 2011

Naik Turun Harga Saham : Bagaimana Ianya Berlaku ?

Ramai yang mungkin tertanya-tanya bagaimana pergerakan harga saham berlaku? Namun harus diketahui bahawa harga saham hanya boleh berubah atau bergerak bagi saham-saham yang diurusniagakan di pasaran terbuka atau di bursa-bursa saham. Bagi saham-saham yang tidak disenaraikan, tiada kenaikan atau penurunan akan berlaku kerana ianya tidak diniagakan.

Kenaikan dan penurunan harga saham berlaku disebabkan elemen-elemen permintaan dan penawaran. Sebagai contoh yang mudah, apabila musim durian baru hendak bermula, selalunya kuantitinya lebih sedikit berbanding dengan pihak yang ingin memakannya. Maka jumlah pembeli adalah lebih banyak daripada kuantiti yang dijual. Maka situasi berkenaan akan menyebabkan harga akan naik kerana lebih ramai yang sanggup membayar untuk pembelian berkenaan walaupun harga yang ditawarkan agak tinggi.

Sebaliknya pula jika musim durian sudah masuk pada peringkat matang, maka lebih banyak kuantiti di pasaran berbanding dengan jumlah pelangan yang mahu membelinya. Baka berlakulah jualan murah yang dibuat secara longgok sahaja pada harga yang murah.

Kes yang sama juga akan berlaku pada urusniaga saham. Jika terlalu ramai pihak yang berminak pada satu-satu saham syarikat tertentu, sedangkan jumlah saham yang disenaraikan adalah tidak terlalu banyak, maka harga saham berkenaan akan mengalami kenaikan.Minat ini bergantung pelbagai faktor seperti kepercayaan terhadap syarikat, keuntungan yang diagihkan, spekulatif dan sebagainya. Harganya boleh naik tanpa had. Sebagai contoh, semasa penulis bertugas di salah sebuah syarikat broker saham pada awal kerjaya dahulu di sekitar 1996, ada saham yang telah mencatatkan kenaikan harga sehinga RM 120 sesaham seunit.

Begitu juga sebaliknya. Harga saham juga boleh jatuh sehingga di paras bawah nilai par(asas), jika adanya berita-berita yang tidak menyenangkan para pelabur.

@MyIktisad

Belanjawan 2012 : Golongan Berpendapatan Kurang RM3,000 Akan Dibantu

Utusan Malaysia hari ini telah melaporkan bahawa golongan berpendapatan RM 3000 kebawah sebulan akan dibantu. Laporan berkenaan yang memetik  bahawa Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan kurang RM3,000.Menurutnya, kajian yang mengambil masa selama dua minggu itu akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan untuk diteliti sebelum dibentangkan pada belanjawan akan datang.

“Menerusi kajian ini, kita akan mengenal pasti pilihan terbaik bagi membantu masyarakat agar ia dapat dilaksanakan secara efisien dan efektif.“Apa yang penting, langkah atau inisiatif yang dilaksanakan nanti dapat mencapai matlamat untuk membantu golongan tersebut dalam meringankan beban mereka. Kerajaan memandang serius perkara itu kerana mendapati golongan yang berpendapatan kurang RM3,000 menerima kesan secara langsung ekoran kenaikan harga barang.-Utusan Malaysia

Sesungguhnya cadangan berkenaan jika dapat direalisasikan akan mengurangkan beban golongan berkenaan. Ini adalah langkah awal dalam mengurangkan beban rakyat secara keseluruhan. Namun golongan yang berpendapatan atas RM 3000 pula boleh dikurangkan beban dengan mengurangkan cukai pendapatan individu. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kuasa beli dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi domestik negara.

Untuk menampung hasil kerajaan yang terpaksa dikorbankan, kerajaan boleh melabur dalam aktiviti perlombongan komoditi seperti bijih besi dan sebagainya atau mengurangkan kebocoran hasil yang berlaku menerusi kegiatan penyeludupan barangan.

@MyIktisad

Sunday, August 21, 2011

Ramadhan Melatih Usahawan Muslim Yang Tulen

Kewujudan pasar dan bazar Ramadhan setiap tahun perlu dilihat dari sudut yang positif. Jika tiga puluh tahun dahulu, pasar dan bazar ini seolah-olah tidak wujud sama sekali. Pembelian barang keperluan terpaksa bergantung kepada peniaga-peniaga bukan Islam. Namun selaras dengan syiar Islam dan keperluan semasa umat Islam, bazar-bazar dan pasar Ramadhan kini dilihat  semakin signifikan.

Ini secara tidak langsung melatih umat Islam menjadi usahawan pada bulan yang mulia ini. Yang berjaya, mungkin boleh jadikan bidang berkenaan sebagai profession baru yang lebih menguntungkan. Yang masih belum berjaya, teruskan usaha dan tanpa putus asa. Dari segi sudut kerajaan, inilah salah satu cabang utama yang boleh diberi perhatian dalam mambangunkan usahawan-usahawan baru dari kalangan umat Islam dan bumiputra. Kerajaan mungkin boleh menyumbang dari segi bantuan kepakaran dan latihan dari segi meningkatkan kualiti penyediaan barangan dan perkidmatan.

Selain daripada itu, pemantauan dari segi pemberian lesen juga perlu diperkuatkan. Ini untuk mengelakkan tangan-tangan ghaib yang memonopoli agihan lesen tapak dan menyewakannya kepada pihak lain atau warga asing demi keuntungan atas angin.Bagi peniaga bukan Islam pula, mereka turut akan mendapat tempias peluang dari segi perniagaan bahan mentah dan keperluan peniaga-peniaga berkenaan. Dengan ini peluang dan kekayaan negara dapat dinikmati oleh semua pihak. Ini dapat dilakukan jika kita semua tidak bersikap tamak dan mengikiskan sikap mementingkan diri.

@MyIktisad

Thursday, August 18, 2011

Malaysia Mencatatkan 4 % Kadar Pertumbuhan Ekonomi Bagi Suku Ke-2 Tahun 2011


Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sederhana sebanyak empat peratus dalam tempoh suku kedua tahun ini berikutan kelembapan dalam persekitaran luar negara serta perbelanjaan sektor awam yang rendah.Kadar pertumbuhan itu adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan pertumbuhan suku pertama yang disemak semula pada 4.9 peratus, serta 8.9 peratus pada suku sama tahun lalu.Dengan pencapaian berkenaan, ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus bagi tempoh separuh pertama tahun ini.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, kelembapan ekonomi di negara maju dan gangguan rantaian bekalan global berpunca daripada bencana alam di Jepun telah menyebabkan sektor perkilangan mencatat pertumbuhan yang lebih perlahan.

“Namun, pertumbuhan keseluruhan terus disokong permintaan dalam negeri serta pengukuhan eksport komoditi dan produk berasaskan sumber berikutan permintaan serantau menggalakkan dan harga komoditi yang tinggi,” kata beliau semasa membentangkan prestasi ekonomi Malaysia untuk suku kedua di Kuala Lumpur, semalam.

Asas ekonomi negara dalam separuh kedua lalu keseluruhannya kekal kukuh dengan pertumbuhan 5.2 peratus dalam perbelanjaan domestik, kadar pengangguran rendah dan sektor perbankan mantap.Pelaburan langsung asing (FDI) bersih juga meningkat kepada RM6.2 bilion pada suku pertama daripada RM4 bilion suku sebelumnya, berikutan persekitaran pelaburan yang semakin meningkat.

Tambah beliau, pertumbuhan ekonomi negara dijangka bertambah baik pada separuh kedua berikutan unjuran pertumbuhan ekonomi global yang positif, disokong kegiatan ekonomi di kebanyakan negara sedang membangun serta pemulihan dalam rantaian bekalan global.

Berikutan itu, beliau berkata, Malaysia dijangka mampu mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi antara lima hingga enam peratus bagi seluruh tahun ini disokong asas kukuh ekonomi dan pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“Pertumbuhan dalam separuh kedua ini akan terus dirangsang permintaan domestik dan perdagangan serantau yang kukuh serta eksport komoditi dan produk berasaskan sumber,” katanya.

Beliau menegaskan, dalam persekitaran semasa keutamaan Bank Negara adalah untuk menyokong pertumbuhan, pada masa sama membendung inflasi.

Inflasi negara berada pada kadar purata 3.3 peratus dalam separuh pertama tahun ini, terutama disebabkan kenaikan harga makanan dengan kadar 3.4 peratus dicatatkan pada Julai adalah yang paling tinggi sejak Mac 2009.

Bank Negara mengunjurkan kadar inflasi bagi seluruh tahun ini berada pada kadar antara 2.5 hingga 3.5 peratus.

Sumber –Bank Negara Malaysia

Wednesday, August 17, 2011

Antara Negara Pendapatan Tinggi Dan Rakyat Berpendapatan Tinggi

Tajuk di atas menunjukkan dua pernyataan yang hampir sama tetapi mempunyai maksud yang mungkin berbeza.Negara berpendapatan tinggi tidak semestinya membawa maksud mempunyai rakyat berpendapatan tinggi. Keadaan ini mungkin berlaku jika kekayaan hanya berlegar dikalangan individu-individu yang tertentu  yang memonopoli perniagaan tertentu yang membayar cukai kepada kerajaan. Atau agensi-agensi sesuatu kerajaan yang "Key Performance Indicators-KPI"nya hanya bermatlamatkan keuntungan semata-mata. Maka peluang pekerjaan mungkin dikecilkan oleh kerana untuk mengurangkan kos operasi untuk membolehkannya membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan. Pendapatan perkapita rakyat dari segi statistik mungkin mencapai angka yang disasarkan, namun kebanyakan rakyat sebenarnya berada dalam kesusahan dan mempunyai pendapatan purata yang minima.Keadaan yang sedemikian akan menyebabkan pengagihan kekayaan yang tidak sekata di kalangan rakyat.

Situasi rakyat berpendapatan tingi pula ialah merujuk kepada purata rakyat keseluruhan mempunyai pendapatan yang tinggi atau sekurang-kurangnya munasabah untuk menyara kehidupan seharian.Ini mungkin disebabkan dasar-dasar kerajaan yang lebih mengutamakan peluang pekerjaan kepada rakyat, menyediakan  dan melaksanakan polisi gaji minima kepada rakyat.Bila keadaan demikian berlaku, kuasa membeli dikalangan rakyat lebih tersebar dan aktiviti ekonomi secara tak langsung dapat dicergaskan. Ini akan meningkatkan kuasa beli di pasaran domestik dan secara tidak langsung akan mengurangkan kesan negatif luaran yang mungkin melanda. Kerajaan juga dapat meningkatkan pendapatannya apabila lebih ramai rakyat yang bakal mampu membayar cukai. Apa yang penting dalam hal ini, soal ketidakpuasan hati rakyat dapat dielakkan seterusnya mengelakkan sesebuah negara mengalami konfik politik yang tidak berkesudahan.

Daripada hujah di atas, penulis berpendapat kenyataan kedua iaitu konsep rakyat berpendapatan tinggi adalah lebih sesuai untuk diamalkan oleh mana-mana negara. Jika pembuat dasar ekonomi negara dapat menghayati konsep berkenaan, penulis yakin Malaysia akan dapat meneruskan momentum kestabilan dan kemakmuran berterusan dalam jangka masa yang panjang.

@MyIktisad

Sunday, August 14, 2011

Krisis Ekonomi-Saham Mana Yang Perlu Diberi Perhatian ?

Keadaan ekonomi dunia pada masa sekarang menuntut para pelabur pasaran saham agar berhati hati. Mungkin perlunya kita mengambil untung sedikit, jika nilai pelaburan asal kita telah meningkat nilainya berbanding kos belian saham-saham berkenaan. Ini kerana krisis ekonomi dunia pada kali ini datang dalam keadaan dua(2) serangkai iaitu melibatkan dua benua iaitu di benua Eropah dan Amerika Syarikat(AS).

Sedangkan krisis ekonomi asia yang melibatkan satu benua sudah cukup mengakibatkan pelabur kerugian, inikan pula bagi keadaan sekarang. Jika bagi mereka yang masih mempunyai pandangan yang positif kepada pasaran, maka perlulah mengambil langkah-langkah yang sepatutnya . Antaranya:

1. Melabur di dalam syarikat yang mempunyai pegangan institusi yang tinggi dan sudah terbukti sebagai pelabur tulen yang bermatlamatkan keuntungan melalui pembayaran dividen.
2.Melabur syarikat yang mempunyai rekod pembayaran dividen yang baik.
3.Pelaburan ke dalam syarikat yang mempunyai aliran tunai yang tinggi.
4. Melabur ke dalam syarikat yang bercirikan monopoli atau oligopoli.
5. Menjauhi seketika syarikat yang pegangan sahamnya agak signifikan dimiliki pelabur Eropah dan Amerika Syarikat(AS). Ini kerana , pelabur ini mungkin terpaksa menarik pelaburan untuk menampung keperluan dana di negara mereka.
6. Yang berugama Islam pula, laburkanlah ke dalam kaunter berstatus diiktiraf sebagai mematuhi keperluan Syariah agar mendapat keberkatan.

Namun ini semua hanya pendapat dan dari pengalaman penulis semata-mata. Penulis tak dapat menolong jikalau berlakunya kerugian disebabkan jika anda menggunakan nasihat berkenaan.

Sekian.

@MyIktisad

Apa Jadi Dengan Wisma Hub Halal Di Selayang ?

Ketika berada di Selayang pada pagi tadi penulis terpandang satu bangunan yang dulunya adalah Pasaraya Warta. Ianya telah diisytiharkan suatu ketika dahulu untuk dijadikan sebuah hub makanan halal di Kuala Lumpur. Tak silap penulis pengumumannya telah dibuat di media massa sejak zaman pentadbiran Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi lagi.

Namun sehingga kini, setiap kali melalui kawasan berkenaan, penulis sering tertanya-tanya dengan projek berkenaan yang masih belum ada perkembangan. Bangunan berkenaan masih berkeadaan tiada berpenghuni. Sedangkan negara jiran seperti Thailand semakin aktif mengembangkan perniagaan makanan halal walaupun penduduk Islam di sana dari kaum yang mempunyai bilangan yang minoriti.

Bukan niat untuk mengcungkil keburukan mana-mana pihak dalam projek ini cuma hanya terasa tertanya-tanya. Apakah rakyat kita masih asyik suka berpolitik dan suka perkara-perkara yang rethorik semata-mata tanpa ada sebarang perlaksanaan.

@MyIktisad

Saturday, August 13, 2011

Kenapa Melabur Ke Dalam Saham ?

Pelaburan sudah semestinya dengan bertujuan untuk mengembangkan sumber kewangan anda. Pelaburan di dalam saham telah membuktikan secara konsisten bahawa ianya cara yang paling menguntungkan jika diuruskan dengan bijak dan berhemah. Antara faedah-faedah dari pelaburan saham ialah:

1.Ianya boleh dibeli dan dijual serta merta mengikut keperluan pelabur.
2.Kos urusniaga yang rendah.
3. Transaksi boleh dilakukan dimana-mana asalkan ada telefon untuk menghubungi wakil peniaga atau menerusi internet.
4. Pelaburan yang mudah dipantau dari serata pelusuk dunia asalkan mempunyai jaringan internet.
5. Dapat memaksimakan pelaburan anda dan risiko pelaburan boleh dikawal.
6. Satu bentuk pelaburan yang boleh diramal jika anda sudah mencapai satu tahap tertentu dari segi selok belik urusniaga berkenaan.
7. Kelebihan cukai yang agak sinigfikan.

Namun begitu, anda juga perlu berwaspada ke atas:

1. Pasaran yang boleh bersifat tidak menentu.
2. Sebarang kekurangan pengetahuan tentang pasaran.
3. Kelalaian memantau pelaburan anda.
4. Sifat tamak yang mana menyukarkan anda untuk keluar pasaran pada masa yang terbaik.

@MyIktisad

Friday, August 12, 2011

Kenali Saham

Saham ialah suatu instrumen bagi entiti perniagaan yang mewakili modal asal yang dilaburkan ke dalam perniagaan oleh pemiliknya. Ianya berfungsi salah satunya sebagai cagaran bagi pemiutang perniagaan dan berbeza daripada harta serta aset-aset perniagaan yang lain.

Antara jenis saham yang popular ialah Saham Biasa dan Saham Terutama. Saham Biasa mempunyai ciri-ciri yang membolehkan pemiliknya memiliki hak mengundi yang boleh digunapakai dalam membuat keputusan korporat serta menikmati sebarang dividen yang diisytiharkan. Manakala Saham Terutama pula tidak mempunyai hak mengundi tetapi dilindungi oleh undang-undang untuk mempunyai hak menerima tahap tertentu tuntutan terhadap aset serta pembayaran dividen sebelum apa-apa dividen boleh dikeluarkan kepada pemegang saham jenis lain.

Di Malaysia, saham-saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia akan didepositkan di Sistem Depositori Pusat atau dikenali sebagai CDS(Central Depository System-CDS) yang mana ianya dimiliki dan dikendalikan oleh Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai Malaysian Central Depository Sdn Bhd), sebuah anak syarikat milik penuh Bursa Malaysia Berhad.Para pelabur perlu membuka akaun melalui Agen Depositori Yang Diberi Kuasa (Authorised Depository Agents -ADAs), iaitu firma-firma pemberokeran saham yang berlesen.

Thursday, August 11, 2011

Pakatan MAS Dan AirAsia - Menginstitusikan Industri Penerbangan Negara

Pakatan strategik di antara dua syarikat penerbangan iaitu MAS dan AirAsia dilihat sebagai salah satu strategi menginstitusikan prospek nilai kekayaan yang dijana daripada industri berkenaan. Kelmarin Khazanah Nasional yang merupakan pemegang saham telah memeterai perjanjian dengan Tune Air untuk menguasai 10 peratus  ekuiti AirAsia. Sebagai balasan Tune Air akan memiliki saham Mas sebanyak 20.5 peratus menerusi proses pertukaran saham.

Langkah berkenaan menyebabkan Khazanah menguasai kedua-dua syarikat berkenaan. Sebarang keuntungan atau kerugian  yang dinikmati oleh kedua-dua syarikat berkenaan akan memberi kesan kepada Khazanah yang merupakan cabang pelaburan kerajaan Malaysia.

Para penganalisis tempatan menyifatkan kerjasama itu melibatkan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah), pemegang kepentingan MAS dan Tune Air, syarikat induk AirAsia Bhd. dan AirAsia X bakal memberikan situasi menang-menang kepada pihak yang terlibat. Ianya mengelakkan pembaziran sumber-sumber yang sepatutnya boleh digunakan bersama bagi memajukan industri penerbangan negara disamping bersedia dengan cabaran persaingan industri penerbangan global.Pakatan itu juga menyaksikan perjanjian Rangka Kerja Kolaboratif Komprehensif (CCF) dimeterai antara MAS, AirAsia dan AirAsia Xbagi meneroka kerjasama dalam pelbagai bidang.

Sebarang keuntungan daripada industri ini bakal turut dinikmati oleh pihak awam di mana Khazanah sebagai cabang pelaburan negara semestinya akan memulangkan keuntungan berkenaan kepada kerajaan untuk disalurkan pula kepada rakyat menerusi projek pembangunan. Ini berbeza dengan keadaan jika hanya individu tertentu yang seolah memonopoli perniagaan tertentu di sesebuah negara. Penulis berharap model perniagaan ini akan memberi kesan positif yang diharapkan.

@MyIktisad

Tuesday, August 9, 2011

Bursa Malaysia Terus Menjunam

Bursa Malaysia hari ini meneruskan aliran menurun akibat ketidaktentuan pasaran terhadap prospek ekonomi dunia yang berpunca daripada krisis hutang di Amerika Syarikat(AS) dan di Eropah. Pada jam 12.30 tengah hari hari ini, FBM KLCI mencatatkan pada 1,461.21 turun 35,78 mata, FBMACE 3,650.22 turun 188,68 mata, FBMEmas berada pada 9,967.38 turun 260,57 mata dan FBMHijrah berada pada 10,150.95 turun 225.52 mata.

Ketika pasaran berehat tadi, terdapat 52 kaunter untung, 905 rugi dan 103 kaunter diniagakan tidak berubah di Bursa Malaysia. Para pelabur dilihat meneruskan aktiviti pengambilan untung dan menjauhi pasaran.

@MyIktisad

Sumber:

Bursa Malaysia

Monday, August 8, 2011

Krisis Ekonomi Dunia:Bursa Saham Malaysia Terjejas Teruk

Bursa Malaysia telah mencatatkan kejatuhan besar pada sisi sebelah pagi ini disebabkan kebimbangan pelabur terhadap prospek ekonomi dunia dan kemungkinan kegawatan ekonomi dunia yang bakal melanda. Indeks FBMKLCI telah mencatatkan penurunan sebanyak 46.63 mata pada pukul 12.30 tengahari tadi. Jumlah dagangan keseluruhan pula direkodkan pada nilai RM 1.781 bilion.

Pasaran global juga memberikan reaksi negatif kepada penurunan penarafan kredit Amerika Syarikat(AS) oleh agensi penarafan Standard & Poors. Indeks utama Asis di Tokyo, Seoul dan Syedney masing-masing merosot sebanyak lebih daripada 1 peratus, selepas bermulanya urusniaga pasaran saham. Urusniaga hadapan saham di New York juga dijangka diniagakan lebih rendah menjelang sesi pembukaannya di Wall Street pada hari Isnin.

Pelabur-pelabur dilihat melepaskan pegangan saham mereka dipasaran disebalik ketidaktentuan krisis ekonomi di Eropah dan di Amerika Syarikat. Kegawatan ekonomi berkenaan turut dijangka menjejaskan ekonomi Asia yang mana kebanyakan eksport barangannya masih bergantung kepada ekonomi bekenaan.

@MyIktisad

Sunday, August 7, 2011

Malaysia Perlu Memperkasakan Ekonomi Domestik Bagi Hadapi Pelbagai Kemungkinan Krisis Ekonomi Dunia

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan bahawa kejatuhan pasaran saham Asia yang disebabkan krisis hutang Eropah dan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) tidak akan memberi kesan buruk kepada kestabilan ekonomi negara

Ianya dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang memetik bahawa perkembangan tersebut hanya bersifat sementara dan belum ada petunjuk kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi dunia dalam masa terdekat.''Saya fikir keadaan ini tidak akan menjejaskan kita kerana ekonomi negara tidak terdedah secara terus dengan krisis yang sedang berlaku di AS dan Eropah," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada ibu tunggal bagi Parlimen Tasek Gelugor .

Beliau diminta mengulas kejatuhan pasaran saham Asia berikutan keadaan ekonomi di AS dan Eropah sekali gus mencetuskan kebimbangan fenomena kemelesetan ekonomi dunia akan berulang.Semalam, Dow Jones mencatatkan kejatuhan paling teruk iaitu 4.3 peratus dalam tempoh sehari sejak 2008.Tan Sri Nor Mohamed berkata, senario tersebut banyak dipengaruhi kebimbangan terhadap cara AS mengurus perbelanjaannya selain pertumbuhan ekonomi yang sangat perlahan.

Beliau bagaimanapun berkata, perkembangan itu hanya bersifat sementara dan proses pemulihan ekonomi dunia yang menjadi perlahan banyak bergantung kepada pertumbuhan ekonomi di China dan India.
''Dalam hal ini, kita mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk berdepan apa juga kemungkinan ekoran ketidaktentuan yang sedang berlaku.

''Kita juga bernasib baik kerana mempunyai hubungan dagang dengan China dan India yang merupakan gergasi ekonomi dunia dan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara ini juga merupakan faktor penting kepada pemulihan ekonomi dunia," jelasnya.

Penulis walaubagaimanapun berpendapat agar negara sentiasa bersedia dengan rancangan-rancangan tertentu jika krisis di Eropah dan Amerika Syarikat semakin buruk. Persediaan awal membolehkan negara menyerap segala bentuk kesan negatif  yang mungkin berlaku ke atas ekonomi negara.Antaranya dengan menggalakkan pelaburan di peringkat domestik agar ekonomi terus berkembang dan rakyat dapat menjalankan urusan harian seperti biasa.

Saturday, August 6, 2011

Pemandu Asing: Kerajaan Digesa Tidak Melayan Permohonan Syarikat Bas

Berita akhir-akhir ini telah memaparkan sebilangan pemandu bas di utara telah ditamatkan perkhidmatan mereka secara serta merta. Pada masa yang sama beberapa media masa dan badan penyiaran telah melaporkan sebuah syarikat bas yang mana ianya adalah antara yang terbesar di negara ini telah memohon kepada kerajaan agar pekerja asing dibawa masuk sebagai pemandu bas. Alasannya ialah kekurangan pemandu yang teliti dan berkualiti. Bukankah kemalangan yang disebabkan oleh lori-lori hantu sering melibatkan warga asing sebelum ini? Apakah kita hendak jadikan bas-bas expres di jalanraya kita sebagai bas hantu pula? Selain itu, kenapa tak tawarkan pekerjaan kepada pemandu-pemandu bas berkenaan yang sedang hilang mata pencarian?

Penulis hanya mampu mengeluh dengan alasan yang diberi oleh syarikat berkenaan kepada kerajaan. Apakah pemandu-pemandu yang dimaksudkan lebih berkualiti dengan pekerja tempatan. Baru-baru ini , penulis sendiri berpengalaman pahit apabila syarikat pembekal barangan elektrik menggunakan pekerja asing untuk tujuan penghantaran, di mana pekerja berkenaan amat cuai dalam mengangkat barangan elektrik berkenaan sehingga tercalar. Penulis dengan tidak berkompromi, menjadikan ianya sebagai alasan utama untuk ditukarkan kepada peralatan yang baru. Lagipun secara kebetulan barangan berkenaan juga tidak berfungsi dengan baik disebabkan ketidakmahiran pekerja berkenaan. Akhirnya pembekal berkenaan terpaksa menggantikan barangan baru dan kali ini penghantaran dengan menggunakan pekerja tempatan .

Apa yang penulis dapat simpulkan di sini ialah, bukan kualiti pemandu yang diutamakan, tetapi mentaliti kapitalis yang ada dikalangan pemilik syarikat berkenaan. Keselamatan pengguna sudah menjadi perkara kedua kerana keuntungan jangka pendek yang menjadi keutamaan. Ini kerana pekerja asing sanggup mendapat gaji rendah berbanding penduduk tempatan yang mempunyai kos sara hidup yang lebih tinggi.

Jika kerajaan mahu imejnya tercalar, turutkan ajelah permintaan ini(syarikat berkenaan). Jika kerajaan menolak permintaan ini, maka penulis dan rakyat Malaysia yang lain akan pasti mengesahkan bahawa slogan rakyat didahulukan adalah satu kenyataan.

@MyIktisad

Friday, August 5, 2011

Bagaimana Maklumat Memainkan Peranan Dalam Perniagaan

Kisah berkenaan satu Kesatuan syarikat pengangkutan hendak mengadakan mogok di bulan yang mulia ini menarik perhatian penulis. Ianya rentetan daripada ketidakpuasan hati kesatuan terhadap penyambungan kontrak perkhidmatan pemimpin utama syarikat berkenaan oleh kerajaan.

Walau bagaimanapun, penulis berharap ada pihak dikalangan kerajaan membuat siasatan terperinci terhadap isu berkenaan. Apakah yang sebenarnya berlaku sehingga kemelut seperti ini boleh tercetus? Bagi pendapat penulis, isu ini mungkin berlaku disebabkan lemahnya proses komunikasi di antara pekerja dan pihak pengurusan , selain daripada wujudnya elemen-elemen politik tertentu.

Penulis juga berpendapat, perlu adanya jalan lain yang berbentu jangka panjang dalam mengatasi kemelut berkenaan daripada terus berlaku. Antaranya :

1. Pengurusan perlu sering turun padang dan berinteraksi dengan para pekerja agar informasi-informasi penting seperti luahan, rasa ketidakpuasan hati, masalah pekerja dapat ditangani dengan lebih praktikal dan bijaksana.
2. Pihak pengurusan perlu mengurangkan proses birokrasi pada peringkat dalaman.
3. Menjalankan program pembangunan dan latihan yang berterusan di kalangan pekerja.
4. Merangka program ganjaran yang menarik dan praktikal selaras dengan kemampuan syarikat.
5. Membuang segala halangan-halangan yang boleh menyebabkan maklumat penting tidak dapat disampaikan kepada pengurusan atasan yang mana halangan ini menjejaskan komunikasi dua hala di antara dua pihak.
6. Syarikat digalakkan berkongsi maklumat tentang hala tuju terkini, pencapaian dan cabaran dengan para pekerja agar semangat kekitaan dapat diwujudkan dikalangan pekerja dan pihak pengurusan. Dengan itu para pekerja pula dapat turut merasakan cabaran yang dihadapi oleh syarikat.
7. Dasar keadilan sosial perlu diterapkan dalam sistem pengurusan;
8. Lain-lain

Jika maklumat-maklumat berkenaan dapat digerakkan secara positif di dalam perniagaan, ianya sudah tentu bakal melonjakkan prestasi syarikat secara lebih positif walau apa jua cabaran yang bakal melanda. Pada masa itu , majoriti para pekerja akan memberi sokongan padu kepada pihak pengurusan dalam melaksanakan apa jua rancangan perniagaan.Maka isu petisyen seperti ini sudah tentu dapat dielakkan.

@MyIktisad

Pekerja Bukan Aset Biasa Dalam Perniagaan

Baru-baru ini negara dicuit dengan dua berita kurang enak iaitu sebuah syarikat telah mengeluarkan notis cuti tanpa gaji kepada para pekerjanya apabila sebaik sahaja masuknya bulan Ramadhan. Manakala berita yang satu lagi ialah mengenai berita penamatan perkhidmatan sebilangan pemandu bas di Parit Buntar, iaitu di kampung penulis sendiri.

Kes seperti ini berlaku mungkin disebabkan tiada keikhlasan dan kejujuran majikan dalam menjalankan perniagaan. Ini rentetan daripada sistem kapitalis yang mungkin diamalkan oleh pengurusan kedua-dua syarikat berkenaan. Pekerja dianggap seperti aset-aset biasa yang boleh dibuang dan ditukar ganti sewenang-wenangnya. Bila mereka diperlukan, mereka akan disanjung dan dipuji , manakala apabila tidak diperlukan lagi, mereka ditendang dan disepak seperti bola.

Tetapi syarikat berkenaan lupa, bahawa kos sebenar yang terpaksa mereka tanggung adalah lebih tinggi. Imej mereka dikalangan kerajaan telah buruk dimana ianya akan menyukarkan mereka untuk mendapatkan kontrak daripada kerajaan dan pihak swasta yang lain dimasa akan datang. Pekerja-pekerja yang berkemahiran dan berpotensi di pasaran mungkin akan menjauhi menyertai syarikat-syarikat berkenaan. Selain itu, proses perundangan yang diambil oleh pihak pekerja akan menyebabkan pihak pengurusan terpaksa meluangkan masa untuk mengenepikan pertuduhan dan bakal  hilang fokus dalam menjalankan perniagaan harian dan mencari peluang-peluang baru.

Sesungguhnya, para majikan berkenaan tidak menyedari bahawa strategi pengurangan kos mereka sebenarnya menambahkan lagi kos yang amat besar dan mahal untuk ditanggung.

@MyIktisad

Tuesday, August 2, 2011

Korea Selatan Membeli Emas Buat Kali Pertama Dalam Tempoh 13 Tahun

Selasa, 2 Ogos 2011- Bank pusat Korea Selatan telah membuat suatu kenyataan yang menyebut bahawa ia membeli emas untuk pertama kalinya dalam tempoh 13 tahun bagi mempelbagaikan rizab pertukaran asing berbanding matawang dolar.

Berdasarkan suatu kenyataan yang dikeluarkan, ia telah membeli 25 tan emas daripada pasaran global  di antara bulan Jun dan Julai, menjadikan jumlah rizab emasnya berjumlah 39.4 tan metric pada akhir bulan Julai.

"Pembelian emas ini adalah sebagai jaringan keselamatan, yang akan membantu kita berdepan dengan pasaran kewangan global yang tidak menentu dan meningkatkan keyakinan pelabur di Korea Selatan semasa krisis”, menurut Hong Taeg-Ki, ketua kumpulan pengurusan rizab bank, kepada Dow Jones Newswires.

Dia tidak mengulas mengenai sama ada akan adanya pembelian yang selanjutnya yang bakal dilakukan.Ini adalah kali pertama bank pusat berkenaan membeli emas kerana ia telah membeli logam berkenaan dari rakyat korea semasa krisis kewangan 1997-1998 di Asia timur. Individu-individu pada masa itu bersama-sama mengumpul emas dari rumah masing-masing untuk membantu negara mereka keluar daripada krisis berkenaan.

Sejak krisis kewangan 2008, emas semakin menjadi perhatian di kalangan bank-bank pusat selurus dunia dan harganya kini telah meningkat secara mendadak.Jumlah rizab bank pusat Korea Selatan telah berada pada paras tertinggi dalam rekod iaitu sebanyak $311 billion pada akhir bulan Julai.

Sumber : Agence France-Presse, Dikemaskini 8/2/2011

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...